UBAH STIGMA TERHADAP MASALAH MENTAL
PULAU PINANG, 5 September 2022 – “Penyakit mental bukan satu pilihan. Kebanyakan pesakit mental sering disalah anggap sebagai lemah dan dituduh ingin menarik perhatian. Ia tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka yang sesuai untuk ditertawakan.”
Demikian kata penceramah jemputan merangkap Pegawai Psikologi, Norazlinda Muda dari Bahagian Sumber Manusia (BSM), Universiti Sains Malaysia (USM) dalam ceramah khas bertajuk Mental Sejahtera Emosi Bahagia anjuran Pusat Transformasi Insan yang diadakan di sini baru-baru ini.
Beliau turut menambah, masyarakat perlu mengubah stigma dan pandangan negatif terhadap penyakit mental. Hal ini kerana menurut beliau, penyakit mental juga sama penting seperti penyakit kronik lain.
Norazlinda dalam masa yang sama turut berkongsi dengan peserta mengenai teknik yang betul untuk menguruskan tekanan, termasuk 7 Teknik Kendali Stress Anda Dengan Bijak, Relax In 5 Minutes, Relaxation Technique Imagery, Expressive Art Therapy dan Gratitude Journal (Jurnal Kesyukuran).
Beberapa teknik ini turut diaplikasikan dalam kursus berkenaan dan peserta diajar menggunakan teknik Relax In 5 Minutes iaitu satu kaedah yang berasal dari Jepun dengan menggerakkan kesemua jari di bahagian tangan untuk melegakan tekanan.
Peserta juga didedahkan dengan Relaxation Technique Imagery, iaitu satu teknik yang menggunakan bunyi hempasan ombak di pantai di iringi muzik yang menenangkan sambil memejam mata dan membayangkan suasana pantai yang indah.
Teknik Expressive Art Therapy juga turut diaplikasikan dengan peserta diberikan beberapa keping kertas dan perlu menggambarkan perasaan masing-masing di atas kertas tersebut menggunakan crayon.
Dalam pada itu, rakan penceramah yang juga Pegawai Psikologi USM, Muhammad Firdaus Abu Mansor pula memberi perincian kepada emosi.
“Emosi boleh dikategorikan kepada dua bentuk yang berbeza iaitu emosi positif yang menyenangkan dan emosi negatif yang tidak menyenangkan.
“Semua emosi ini adalah normal untuk dirasai jika dilalui dalam konteks yang betul. Konsep emosi bersifat subjektif. Ia bergantung kepada bagaimana seseorang itu memaknakan emosi tersebut,” ujar Firdaus dalam ceramahnya.
Beliau turut menasihatkan kepada para peserta untuk tidak teragak-agak mendapatkan bantuan profesional sekiranya memerlukan.
Selain itu, salah seorang peserta kursus, Hazwan Zulyadain pula berkata; “Saya berasa teruja dapat mengikuti kursus ini. Saya juga adalah ahli AKRAB USM. Bagi yang belum mengenali AKRAB, fungsi yang dijalankan oleh AKRAB USM ini sama dengan Kelab Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) sewaktu kita bersekolah dahulu.
“Saya gembira untuk berkongsi ilmu yang diperolehi hari ini bersama rakan-rakan AKRAB yang lain. Saya turut berharap agar akan ada program susulan selepas ini,” katanya yang juga Jururawat Pusat Sejahtera USM ketika diminta berkongsi pengalaman beliau sepanjang menghadiri kursus berkenaan.
Teks: Nurhidayah Shahbuddin/Foto: Pusat Transformasi Insan
- Created on .
- Hits: 567