USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NAIB CANSELOR SANTUNI PELAJAR PRA-U USM DI KOLEJ MARA KULIM

KULIM, 7 Sept. 2022 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan petang ini bertandang ke Kolej Mara Kulim untuk bertemu secara bersemuka dengan anak-anak baharu Pra-U USM bagi Sidang Akademik 2022/2023.

9E9893E4 E26F 4F78 8F6E 7978BCE785B9

Seramai 130 orang pelajar Pra-U USM (102 pelajar perempuan dan 28 pelajar lelaki) yang baru sebulan melapor diri di kolej tersebut telah mengikuti sesi berkenaan.

Naib Canselor mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar tersebut yang berjaya terpilih mengikuti program Pra-U USM walaupun ramai lagi yang memohon.

Beliau membentangkan sepintas lalu kejayaan dan matlamat USM sebagai sebuah Universiti APEX dalam melonjakkan kecemerlangan pendidikan tinggi bertaraf dunia yang selari dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara.

Beliau menyifatkan para pelajar Pra-U USM tersebut telah membuat pilihan yang tepat dengan menjadikan USM sebagai pilihan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

"Tambahan pula, USM menyediakan persekitaran kampus yang nyaman, harmoni dan kondusif di Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan malahan di Kampus USM-KLE yang terletak di Belgaum, India yang mengendalikan program doktor perubatan pesisir,” katanya.

Pesan beliau, "Belajarlah dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, biarlah kita bersusah dahulu namun senang kemudian.”

"Sebagai pemimpin masa hadapan sewajarnya kita mempunyai kredibiliti, karekter atau akhlak yang baik serta sentiasa merendah diri.

“Kita tidak sempurna dan jangan gunakan kebijaksanaan yang kita miliki untuk menghina orang lain. Sentiasa sopan, jaga solat dan jaga hubungan baik dengan keluarga dan sesama insan,” pesan Naib Canselor mengakhiri ucapannya.

Turut hadir dalam sesi pertemuan tersebut ialah Pengarah Kolej Mara Kulim, Dr. Hajjah Nabilah Dato’ Hashim; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat; Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Akademik dan Antarabangsa USM, Ramli Osman; dan pensyarah-pensyarah Kolej Mara Kulim.

Teks: Zamzami Rasidi

  • Created on .
  • Hits: 522

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024