19 E-BUKU SWATERBIT DILANCARKAN SEMPENA PROGRAM HICSEF 2022
PULAU PINANG, 7 September 2022 - Sejumlah 19 e-buku swaterbit hasil karya sulung pelajar-pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) dilancarkan bersempena dengan penutup Majlis Pentauliahan Fasilitator Penulisan & Pelancaran E-Buku Swaterbit HiCSEF 2022 di sini baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut, seramai 19 orang peserta juga telah ditauliahkan sebagai Fasilitator Penulisan Swaterbit HiCSEF setelah berjaya menyempurnakan latihan penulisan swaterbit secara intensif selama 10 minggu.
Program kolaborasi antara Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni (BHEPA) dan Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik (CDAE) itu bertujuan melatih sepasukan pelajar sebagai Fasilitator Bertauliah E-Buku Swaterbit HEBAT-indie@USM (HEBAT-indie@USM Certified Self-publishing E-Book Facilitator) (HiCSEF).
Majlis penutup HiCSEF telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlinda Azman.
Pengarah CDAE merangkap Penasihat Utama HiCSEF, Profesor Dr. Abd. Karim Alias berkata, selama 10 minggu, para peserta telah melalui pengalaman pembelajaran bermakna melalui bimbingan terpandu daripada Pasukan Mentor Penulisan HiCSEF yang berpengalaman dalam bidang penulisan dan penerbitan e-buku swaterbit.
Katanya, peserta juga telah melalui sesi audit bagi memenuhi syarat pentauliahan sebagai fasilitator penulisan. Sesi ini menguji kefahaman peserta mengenai proses penghasilan e-buku swaterbit di samping kemahiran yang diperlukan oleh seorang fasilitator penulisan.
“Sesuai dengan perkembangan bidang teknologi maklumat kini, Program HiCSEF menyediakan peluang kepada peserta untuk meneroka bidang penerbitan digital yang sedang berkembang pesat sekarang.
“Penjualan e-buku swaterbit tidak sahaja melatih aspek penulisan tetapi juga membuka peluang kepada pelajar untuk menjana pendapatan sampingan melalui penjualan e-buku,” tambah beliau lagi,” ujar beliau.
Abdul Karim menambah, aktiviti swaterbit mendedahkan peserta kepada kemahiran-kemahiran baru yang boleh diperoleh di luar kelas. Selaras dengan matlamat program, ia berpotensi untuk meningkatkan kualiti graduan yang bercirikan H.E.B.A.T, sekaligus menambah nilai kebolehpasaran graduan USM.
“Tanpa pengorbanan bukanlah perjuangan namanya,” katanya sambil memberitahu hasil karya peserta HiCSEF2022 boleh dilihat di platform indiework.usm.my.
- Created on .
- Hits: 461