USM ANJUR KURSUS PEMERKASAAN SIJIL HALAL PENGUSAHA KAFE USM DAN KANTIN SEKOLAH DI PULAU PINANG
USM, PULAU PINANG, 5 September 2022 - Sebuah modul yang ditulis bersama oleh beberapa orang pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Universiti Sains Malaysia (USM) dan pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang telah dihasilkan sebagai panduan kepada para pengusaha penyediaan makanan berskala kecil untuk mendapatkan sijil halal. Modul ini diharapkan menjadi rujukan kepada para pengusaha penyediaan makanan kecil, terutamanya pengusaha kafe di USM dan juga pengusaha kantin sekolah di Pulau Pinang.
Demikian ujar Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan, Prof. Madya Dr. Anees Janee Ali dalam kursus pemerkasaan sijil halal kepada pengusaha kafe USM dan pengusaha kantin sekolah di Pulau Pinang yang berlangsung di Dewan Bankuet USM kelmarin. Modul Pemerkasaan Sijil Halal ini telahpun diedarkan kepada para peserta kursus sewaktu kursus berlangsung.
Menurutnya, program ini bukan sahaja membantu para peserta dalam meningkatkan ekonomi mereka tetapi juga selari dengan agenda universiti dan aspirasi negara dalam membangunkan ekonomi, persekitaran, pendidikan, sosial dan kesihatan para pengusaha pembuatan/penyediaan makanan dan juga memberi manafaat jangka panjang kepada pengguna dan negara.
“Program ini membantu menambah pendapatan para pengusaha penyediaan makanan berskala kecil dengan pensijilan halal ini kerana lebih ramai pengguna yang bertambah yakin untuk membeli produk mereka.
“Disamping itu, ianya turut menambah keyakinan para pelanggan sedia ada dan pelanggan baru untuk membeli produk para pengusaha penyediaan makanan berskala kecil dan dengan ini secara langsung akan menambah pendapatan mereka,” jelasnya lagi.
Tambahnya, inisiatif ini juga menyokong dan memberi panduan dan maklumat kepada para pengusaha penyediaan makanan berskala kecil dalam usaha menghasilkan makanan yang bermutu tinggi dan selamat untuk dijual kepada para pelanggan kerana ini adalah sesuatu yang penting kerana para pelanggan utama adalah pelajar dan staf USM, serta para pelajar sekolah rendah dan menengah serta orang awam.
Sementara itu, Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang, YB Dato’ Haji Abdul Halim Hussain yang merasmikan majlis ini berkata sejumlah geran diperuntukan pada tahun ini untuk mambantu para pengusaha kafe USM dan pengusaha kantin sekolah yang mengikuti kursus ini untuk mendapatkan sijil halal. Program seperti ini akan diteruskan pada masa hadapan dengan harapan semua kantin sekolah di Pulau Pinang akan mendapat sijil halal.
Turut hadir sama ialah Dekan, Pusat Pengajian Pengurusan, Prof. Dr. Noor Hazlina Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif, Penang Halal International, Tuan Fazil Irwan Som; Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Pulau Pinang, Ustazah Nor Liza Binti Mohamad; Penolong Pengarah, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Encik Shukri Idris dan pegawai-pegawai USM serta agensi berkaitan.
Jumlah peserta dianggarkan seramai 130 orang, terdiri daripada 80 pengusaha kantin sekolah di Pulau Pinang dan 50 pengusaha kafe di USM. Penceramah utama kursus ini ialah Puan Nur Hanisah Othman, iaitu Pegawai Teknologi Makanan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto : Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 640