USM ZAHIRKAN SEMANGAT PATRIOTISME, SERTAI PERARAKAN DAN KONVOI MOTOSIKAL SEMPENA SAMBUTAN KEMERDEKAAN
GEORGETOWN, PULAU PINANG, 31 Ogos 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) menzahirkan semangat patriotisme apabila turut serta memeriahkan Sambutan Hari Kemerdekaan Negara Ke-65 dengan mengambil bahagian dalam acara utama perarakan dan konvoi bermotosikal.
Kontinjen USM yang merangkumi 50 peserta perbarisan dan 50 penunggang USM Bikers dilihat beraksi hebat di hadapan ribuan pengunjung yang hadir membanjiri lokasi sambutan iaitu di sepanjang jalan Padang Kota Lama dan Perkarangan Dewan Bandaraya, di sini.
Ketua Kontinjen USM, Mohamad Azwan Mahmud Safbri berkata, USM membawakan tema ‘Kelestarian Universiti Untuk Masa Depan Negara’ dan meraikan kepelbagaian dalam persembahan dengan penyertaan staf dari pelbagai lapangan pentadbiran dan perkhidmatan.
“Kontinjen USM mengenakan pakaian anggota keselamatan, pakaian istiadat keselamatan, jururawat dan doktor selain pakaian perarakan iaitu baju-T. Kehadiran USM turut diserikan dengan aksi lincah maskot rasmi kontinjen, ‘Helang Merah’.
“Kami amat teruja ketika mendapat tepukan gemuruh sebaik melintas di hadapan pentas utama. Ia adalah antara saat-saat terbaik yang dirasakan oleh setiap peserta,” ujarnya sambil menyifatkan kontinjen USM Bikers turut mencuri tumpuan dengan deruman enjin dan motosikal berwarna-warni,” katanya.
Tambah beliau, antara tujuan USM menyertai acara tahunan yang telah dua tahun tidak diadakan ekoran pandemik itu adalah untuk menyemai nilai patriotisme dan semangat cintakan negara dalam kalangan staf USM.
Majlis ditambah seri dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang; serta Pegawai-pegawai Utama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Hari Kebangsaan Ke-65 Peringkat Negeri Pulau Pinang turut menyaksikan keterujaan pengunjung membanjiri sekitar kawasan Padang Kota dan tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan perarakan dan sambutan hari kemerdekaan.
Tema hari kebangsaan iaitu “Keluarga Malaysia Teguh Bersama” menepati kegigihan segenap lapisan masyarakat Malaysia yang bekerjasama melawan dan bertungkus lumus memerangi penularan COVID-19.
Kira-kira 5,000 peserta terlibat dalam acara perbarisan yang dianggotai pelbagai jabatan, agensi kerajaan negeri dan persekutuan, badan berkanun, pasukan keselamatan dan pasukan beruniform serta pasukan pancaragam sekolah.
Lebih menarik, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menyajikan perarakan hebat dengan menggunakan pelbagai aset seperti kereta perisai, meriam dan bot tempur.
Perbarisan konvoi berkenderaan yang dibarisi pasukan motosikal berkuasa tinggi, kereta pacuan 4x4 dan konvoi kenderaan nasional Perodua Alza yang dianggotai oleh Geng Alza Biru (GAB) mengakhiri perbarisan dan perarakan sambutan kemerdekaan yang turut diadakan di seluruh negara itu.
Teks: Zamzami Rasidi/Suntingan: Marziana Mohamed Alias/Foto: Shahnizam AB Rahim & Nor Amin Zainal Kamarudin
- Created on .
- Hits: 659