USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN KE-65: KELUARGA MALAYSIA TEGUH BERSAMA

WhatsApp_Image_2022-09-01_at_11.36.16_AM.jpeg

USM PULAU PINANG, 31 Ogos 2022 – Seluruh warga Universiti Sains Malaysia (USM) diseru untuk sentiasa bersatu padu dan berdiri teguh antara satu sama lain dalam menghadapi cabaran mendatang.

Demikian ujar Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan yang menyeru agar semua warga USM untuk terus kekal bersatu, bersama-sama dalam membangunkan menara ilmu ini dengan memberi komitmen yang teguh dalam menjalankan tugas untuk institusi dan berkhidmat untuk negara.

“Saya ingin mengajak seluruh warga USM untuk terus teguh bersama dan memahami erti kemerdekaan yang bukan sekadar laungan semata-mata akan tetapi merupakan satu perjuangan yang ikhlas dalam menegakkan kedaulatan negara agar terus terpelihara,” katanya.

Tambahnya, seluruh rakyat Malaysia perlu menanam sifat bertanggungjawab, lebih-lebih lagi dalam kalangan warga USM supaya sentiasa melakukan perkara yang bermanfaat untuk semua dan meninggalkan atau mengelak dari melakukan perkara yang boleh menjatuhkan nama baik negara dan institusi.

“Saya dan Pengurusan Tinggi USM amat bersyukur dengan komitmen dan dedikasi terhadap tugas serta semangat kerja berpasukan yang tinggi yang ditunjukkan oleh semua warga kerja USM bersama-sama memacu kecemerlangan Universiti dalam pelbagai aspek sekaligus mengangkat agenda pengajian tinggi negara,” katanya.

Faisal Rafiq mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-65 kepada semua rakyat Malaysia terutamanya warga USM dalam kalangan pelajar mahupun kakitangannya serta juga para alumninya.

Sementara itu, selain penghayatan terhadap Logo dan Tema, sebagai rakyat Malaysia, kita hendaklah mengambil peluang menghayati makna sebenar kemerdekaan kerana sebuah kemerdekaan itu bukan hanya sekadar retorik pengkisahan sejarah semata-mata.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-65 bagi tahun 2022 ini, kita seharusnya mengambil peluang dan ruang bersama-sama bagi menghayati erti sebenar kemerdekaan kerana ia akan menaikkan lagi semangat patriotisme cintakan tanah air dalam diri masing-masing.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Poster: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 489

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024