USM-MBOT METERAI MOU JALIN KERJASAMA DALAM BIDANG BERKAITAN TEKNOLOGI
USM PULAU PINANG, 26 Ogos 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) untuk meneruskan kerjasama strategik pembangunan sains dan teknologi bagi melahirkan lebih ramai pakar teknologi.
Majlis penandatanganan MoU itu disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan bersama Presiden MBOT, Datuk Ts. Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, disertai Pengarah PPKT USM, Ahmad Fadhul Irham Yusoff dan Pendaftar MBOT, Dr. Md Fauzi Md Ismail.
MoU ini adalah komitmen kedua-dua pihak dalam menjalinkan kerjasama melalui perkongsian dan pertukaran kepakaran, pengetahuan, perkhidmatan dan apa jua bidang yang berkaitan dengan teknologi.
Melalui MoU ini, USM dan MBOT akan melihat kepada peluang-peluang yang boleh diterokai bersama dalam membangunkan industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan direalisasikan dengan optimum demi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir teknologis di Malaysia.
Menurut Faisal Rafiq, melalui platform ini, USM bersedia untuk menjadi rakan bertindak dari aspek pengetahuan, kepakaran dan perkhidmatan penyelidikan dan penyertaan aktif dalam projek-projek yang dikenal pasti oleh MBOT.
“Semoga MoU ini akan menjadi satu ‘milestone’ yang menjadi penanda aras permulaan usahasama bagi membuahkan hasil dan memberi manfaat kepada USM dan MBOT,” katanya.
Sementara itu, Siti Hamisah berkata usahasama ini adalah komitmen kedua-dua pihak dalam menjalinkan kerjasama yang akan menyumbang kepada pembangunan modal insan negara.
“MBOT ialah badan profesional yang memberikan pengiktirafan profesional kepada Teknologis dan Juruteknik dalam 24 bidang teknologi dan teknikal, yang mana sehingga kini MBOT telah mendaftarkan lebih 60,000 ahli, termasuk lebih 15,000 Teknologis Profesional dan 1,700 Juruteknik Bertauliah,” katanya.
Tambah beliau, jumlah ini menunjukkan penerimaan baik oleh industri terhadap pengiktirafan yang diberikan oleh MBOT kepada bakat-bakat yang ada di negara ini dan daripada jumlah tersebut, seramai 95 orang tenaga kerja daripada USM telah diperakui sebagai Teknologis Profesional dan Juruteknik Bertauliah oleh MBOT.
Gerak kerja MoU ini telah bermula pada Februari 2022 dengan hala tuju serta kolaborasi Seksyen Korporat dan Latihan PPKT yang diselaraskan dengan ‘Road map’ Latihan ICT, iaitu cadangan kursus serta laluan latihan ICT secara profesional serta pensijilan berasaskan bidang dalam kerjaya Teknologi Maklumat.
Turut hadir ke majlis adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat; dan Timbalan Naib Canselor (Kelestarian dan Pembangunan Institusi), Profesor Dr. Md Roslan Hashim.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi
- Created on .
- Hits: 684