USM-UUM BEKERJASAMA PACU KECEMERLANGAN PENGAJIAN TINGGI NEGARA
USM PULAU PINANG, 25 Ogos 2022 – Hari ini tercatat sejarah lawatan delegasi Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah, Naib Canselor UUM bersama-sama ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan ke kampus induk Universiti Sains Malaysia (USM).
Delegasi UUM yang terdiri daripada seramai 68 warga akademik dan bukan akademik itu disambut oleh Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, Naib Canselor USM bersama-sama ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti serta ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai utama Universiti.
Dalam ucapan alu-aluannya, Faisal Rafiq berkata beliau begitu gembira menerima kunjungan balas delegasi UUM dan mengalu-alukan kedatangan mereka ke USM.
Kunjungan balas tersebut adalah susulan lawatan kerja USM ke kampus induk UUM di Sintok Kedah pada bulan Mei lalu.
Lawatan kali ini bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah serta mengukuhkan jaringan kerjasama strategik bagi kedua-dua buah Universiti dengan harapan agar USM dan UUM akan co-learn bersama-sama dan seterusnya co-create bagi memacu kecemerlangan universiti dan pengajian tinggi negara.
Mereka berkongsi aspirasi di Dewan Persidangan Universiti dan kemudiannya ke Kompleks Cahaya Siswa (Komca) serta melawat beberapa fasiliti ikonik kampus induk USM, iaitu Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), The Nest, Minden 11800, Projek madu kelulut Living Lab @ Eco Hub, Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah, Desasiswa Fajar Harapan, Studio Sarjana Seni Bina Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan & Perancangan, The Bricks dan Padang KOPA sebelum meninggalkan kampus pada sebelah petang.
Teks: Mohamad Abdullah & Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi
- Created on .
- Hits: 1105