USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HADAPI PERUBAHAN DALAM PERSEKITARAN

usmkota

 KOTA BHARU, 18 Ogos 2013 - Semua pihak perlu bersedia melakukan perubahan selaras dengan pelbagai perubahan yang berlaku di sekeliling kita, termasuk dalam persekitaran akademik yang ada.

"Melihat kepada pencapaian para pelajar hari ini, sama ada yang akan memasuki universiti, sedang berada di universiti mahu pun yang akan menamatkan pengajian mereka," kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman.

Bercakap kepada warga Pusat Pengajian Sains Kesihatan dalam Perhimpunan Bulanan di sini, Naib Canselor meminta agar seluruh warga melihat kepada perubahan-perubahan ini untuk bersama-sama menghadapinya.

Naib Canselor berkata, lihat sahaja permohonan yang begitu besar yang diterima untuk memasuki USM tahun ini dengan bilangan menjangkau lebih 25,000 orang untuk pengajian sepenuh masa dan jarak jauh dengan kemampuan USM mengambil hanya sekitar 6,000 orang pelajar.

usmkota1

 Malah hampir semua program pengajian mendapat calon yang mempunyai pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.0 dan ke atas termasuk program kejuruteraan malah sesetengah program 4.0. Begitu juga pelajar yang kini mencapai PNGK lebih 3.0 ketika berijazah.

"Mereka ini adalah generasi yang menguasai teknologi di hujung jari dan ilmu pengetahuan yang luas walau pun pengalaman mereka mungkin kurang dan sedang mendaki kematangan dan yang pentingnya jangan pandang rendah kepada keupayaan dan kebolehan pelajar sekarang," kata Omar.

Naib Canselor juga meminta agar usaha dibuat untuk mengadakan perancangan teliti untuk menetapkan kedudukan sesuatu program pengajian dalam lima ke sepuluh tahun yang akan datang dalam menghadapi persaingan yang ada termasuk memastikan para siswazah USM berupaya untuk berkhidmat di seluruh dunia.

Berdasarkan data yang ada, dianggarkan kira-kira 17% siswazah USM berkhidmat dalam pelbagai institusi multinasional di serata dunia dan jumlah ini perlu ditingkatkan pada masa hadapan.

"Malah kita perlu lakukan apa sahaja yang boleh untuk memposisikan diri di peringkat dunia," kata Omar.

Naib Canselor juga meminta agar semua pihak berusaha untuk melonjakkan USM ke tahap seterusnya dengan bekerja sebagai satu pasukan. Dalam bidang penyelidikan misalnya, perlu melakukannya sebagai satu pasukan multi disiplin dan berusaha untuk menggerakkannya dengan pelbagai inisiatif dan insentif yang ada.

"Tumpuan kita adalah kepada peningkatan usaha dalam penyelidikan dan pengajaran termasuk dalam menentukan bilangan staf dan lain-lainnya yang dapat menyokong kedua-duanya," tegas Naib Canselor.

946344 10201846894358420 301606836 n

 Namun Naib Canselor menegaskan yang keperluan sumber manusia untuk mengukuhkan penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran tidak akan dikejatkan tetapi tumpuan adalah untuk memperkukuhkan kemampuan penguasaan teknologi dalam meningkatkan kecekapan dan keberkesanan tugas yang ada dalam kalangan warga yang ada.

Naib Canselor turut mengingatkan warga universiti bahawa "ini adalah universiti kita bersama dan perlu dibangunkan dan ditangani apa jua masalah yang ada bersama-sama."

Hadir dalam perjumpaan ini ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr. Muhammad Jantan, Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed dan Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Ahmad Zakaria. - Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1915

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024