USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BANTU PELAJAR PENDIDIKAN KHAS TERNAK TILAPIA SECARA LESTARI

USM PULAU PINANG, 22 Ogos 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perikanan (FRI), NGO PENCINTA dan SMK Machang Bubok berusaha membantu para pelajar pendidikan khas untuk berdaya saing dalam mencipta pekerjaan selepas tamat belajar.

BE21B9A8 11F5 487D A910 2DF5F6001B8F

Menurut Ketua Projek yang juga pensyarah Biologi PPPJJ, Dr. Amirah Hurzaid, projek ternakan tilapia ini dijalankan dengan komponen utama yang melibatkan proses pemindahan ilmu atau knowledge transfer tenaga mahir kepada guru-guru Pendidikan Khas serta waris pelajar terlibat.  

“Latihan khas akan diberikan kepada pelajar ini bagi menjalankan penternakan ikan tilapia secara lestari dan satu modul akan dibangunkan sebagai rujukan kepada sekolah-sekolah Pendidikan Khas yang lain,” tambah Amirah yang menjalankan projek ini menggunakan Geran Jaringan Industri dan Masyarakat berjumlah RM9,000.  

Projek tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Ahmad Kamal bin Abdul Ghani pada Isnin lalu dengan pelepasan sebanyak 300 ekor benih ikan tilapia.  

Dalam ucapannya, Ahmad Kamal amat mengalu-alukan kerjasama sebegini kerana di samping memberikan pendedahan kepada sistem penternakan secara lestari, ia dapat membantu komuniti pelajar kurang upaya mempersiapkan diri untuk berdikari dalam menghadapi masa depan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan kerajaan apabila tamat persekolahan kelak.

“Ini adalah selaras dengan tagline Sektor Pendidikan Khas, JPN iaitu ‘Insan Terbina, Bakti Terlaksana’ yang mana pelajar Pendidikan Khas juga berupaya memberikan sumbangan kepada negara apabila mereka mempunyai kerja sendiri. 

9C4EA0B3 78F7 4936 B0BC 78800A2AC26C

Projek tersebut juga disambut baik oleh pihak sekolah dan seramai 10 pelajar akan mendapat faedah langsung dari projek ini.  

Menurut Penolong Kanan Pendidikan Khas, SMK Machang Bubok, Noradawiyah Khosin, pelajar Pendidikan Khas sebenarnya mempunyai kurang daya saing untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan kekurangan latihan dan bimbingan kemahiran hidup efektif yang berpadanan dengan kapasiti pembelajaran pelajar.

“Perkara ini akan merencatkan masa depan pelajar dalam mendepani kehidupan kerana kekurangan peluang pekerjaan yang bersesuaian apabila meninggalkan sekolah kelak,” ujar Noradawiyah.

Salah seorang pelajar yang mengikuti program tersebut, Mohammad Syawal Sanapi (14 tahun) berkata beliau sangat teruja dan mengucapkan terima kasih kepada USM dan agensi-agensi terlibat yang melaksanakan projek berkenaan.

C0F90D0C 9C5F 42E4 8B16 DB4A68A4F390

Majlis turut dihadiri oleh Pegawai Pendidikan Daerah Unit Pendidikan Khas, Akilah Razinah Abdullah; Masazurah Rahim (FRI Batu Maung); Mohd Syaiful Mohammad (NGO PENCINTA); Profesor Madya Dr. Norehan Mokhtar dan Dr. Zainil Hanim Saidin (USM) serta guru-guru Pendidikan Khas SMK Machang Bubok.  

Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Putrie Agusti Saleha 

  • Created on .
  • Hits: 941

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024