USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENERBIT USM MEMBUKA HALAMAN BARU DENGAN PERASMIAN ‘EMDASH BOOKSTORE’

IMG 8501

USM PULAU PINANG, 25 Ogos 2022 – Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah mengorak langkah ke hadapan dengan perasmian ruang penjualan buku ‘Emdash Bookstore’.

Acara perasmian tersebut yang diadakan dalam suasana sederhana, bertujuan untuk lebih menonjolkan lokasi serta peranan Penerbit USM dalam penghasilan dan penjualan buku-buku pelbagai ‘genre’ di kampus induk USM.

Dalam ucapan alu-aluan beliau, Pengarah Penerbit USM, Profesor Madya Dr. Nazarudin Zainun berkata, walaupun ruang penjualan ini agak sederhana saiznya, apa yang lebih penting adalah peningkatan ‘visibility’ dan usaha yang akan diteruskan dalam mengetengahkan penyebaran ilmu melalui aktiviti penjualan dan penulisan buku.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, dalam ucapan perasmiannya pula berkata, usaha ini yang telah dimulakan oleh mantan Pengarah Penerbit USM, A’watif Ahmad, perlu diteruskan kerana selain penyediaan ruang yang sesuai untuk aktiviti penjualan buku, ia juga akan memberi ruang dan peluang kepada komuniti USM, khususnya pelajar untuk menerokai aktiviti penulisan sebagai sebahagian daripada usaha ke arah menggalakkan pengembangan ‘k-economy’.

Tambah beliau lagi, ruang untuk peluasan lantai tapak masih ada bagi Emdash Bookstore, selain peluang mengembangkan pelbagai cabang ilmu.

Beliau memberi contoh melaksanakan naratif semula Sejarah, dengan memberi fokus kepada tapak arkeologi Sg Batu di Kedah sebagai pusat perkembangan industri dan budaya masyarakat tempatan masa lampau.

Beliau seterusnya merasmikan Emdash Bookstore dengan gimik menyepak bola masuk ke tiang gol mini yang telah disediakan.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pengerusi Jawatankuasa Sidang Pengarang Sastera, Profesor Dato Seri Dr. Md Salleh Yaapar; Bendahari USM, Kamarul Ariffin Ngah; mantan Pengarah Penerbit USM, A’watif Ahmad; delegasi Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), wakil-wakil Penerbit UA, dan pegawai-pegawai universiti.

Emdash Bookstore beroperasi setiap hari Isnin - Jumaat (ditutup sewaktu solat Jumaat), dari pukul 10 pagi hingga 3 petang.

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 540

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024