NC SERU JADI SISWAZAH HOLISTIK DAN BERKUALITI UNTUK DUNIA
KOTA BHARU, 17 Ogos 2013 - Para siswazah seharusnya serba boleh dan menguasai pelbagai kemahiran untuk bersaing. Hanya dengan cara ini para siswazah dapat memasuki pasaran dengan lebih baik sebagai seorang yang mempunyai kualiti yang tinggi.
Hal ini dinyatakan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman kepada pelajar-pelajar Pusat Pengajian Sains Pergigian dalam Majlis Makan Malam dan Graduasi Ke-10 yang berlangsung di Kelantan Trade Centre di sini.
"Saya menyeru para pelajar dan juga mahasiswa USM untuk melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran untuk bersaing di dalam dan di luar negara, walau pun keperluan dan permintaan untuk siswazah pergigian dalam negara masih tinggi dan sangat diperlukan," kata Omar.
Tambahnya, universiti menggesa dan meminta semua pusat pengajian untuk memposisi dan membuat perancangan strategik agar mahasiswa dan siswazah dapat diterima di arena antarabangsa kerana tidak dapat selamanya hanya berada dalam negara untuk mendapat peluang pekerjaan.
"Saya fikir semua pihak perlu bekerja keras untuk memberi nilai tambah dan mengambil tindakan yang perlu untuk membolehkan kita bersaing di pentas dunia termasuk untuk menbolehkan para mahasiswa dan siswazah kita untuk berani berbuat demikian dan yang utamanya, dapat menjadi seorang yang berguna biar di mana berada apatah lagi kepada tanah air dan dunia seluruhnya," kata Naib Canselor lagi.
Pelbagai acara menarik diadakan termasuk cabutan-cabutan bertuah dan pelbagai anugerah khas sempena majlis tersebut.
Lebih 150 orang menghadirinya termasuk Pengarah Kampus Kesihatan Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamad, Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian Profesor Madya Dr. Adam Hussein, Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan Profesor Dr. Ahmad Zakaria dan Dekan Pengasas Pusat Pengajian Sains Pergigian Profesor Dato' Dr. Ab Rani Shamsuddin. - Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1053