YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG HADIR RAIKAN APRESIASI PUISI MERDEKA 2022
USM PULAU PINANG, 21 Ogos 2022 – Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak, telah hadir ke Universiti Sains Malaysia (USM) meraikan majlis Apresiasi Puisi Merdeka 2022 dan meluangkan masa bersama para karyawan negeri Pulau Pinang.
Pada majlis tersebut, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang turut berkesempatan menyampaikan sebuah puisi bertajuk ‘Jiwa Hamba’, karya Usman Awang.
Majlis yang berlangsung di Balai Pese'ban Agung, Pusat Pengajian Seni, USM itu diadakan sempena bulan kemerdekaan yang bakal disambut negara pada 31 Ogos ini bertujuan mengajak masyarakat menyemarakkan jiwa kemerdekaan dan menyemai semangat patriotik melalui penghayatan puisi.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan turut berpeluang menyampaikan puisi bertajuk ‘Pahlawan dan Tanah Air’ yang juga merupakan karya Usman Awang.
Tetamu kenamaan yang turut hadir ialah Wakil Ketua Menteri Pulau Pinang, YB Syerleena Abdul Rashid; Presiden Persatuan Karyawan Pulau Pinang, Dato' Dr. Sohaimi Abdul Aziz; Sasterawan Negara (SN), Dato' Seri A. Samad Said; dan Presiden PEMENANG, Tan Sri Dato' Seri Dr. Hj. Mohd Yussof Latiff.
Program ini merupakan anjuran Persatuan Karyawan Pulau Pinang dengan kerjasama USM, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SUKPP), Jabatan Penerangan Negeri Pulau Pinang, Dewan Budaya dan Pustaka (DBP), Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negeri Pulau Pinang.
Teks: Nurhidayah Shahbuddin/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 532