USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RAIH 2 EMAS, 3 PERAK DAN 4 GANGSA DI SUKIPT 2022

TANJUNG MALIM, 21 Ogos 2022 - Kontingen Universiti Sains Malaysia (USM) menamatkan saingan di Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 pada hari terakhir dengan meraih 2 Emas, 3 Perak dan 4 Gangsa.

WhatsApp_Image_2022-08-22_at_7.50.42_AM.jpeg

2 Emas yang diperolehi adalah melalui sukan Badminton dan Memanah. 3 Perak pula masing-masing 1 daripada Olahraga dan 2 daripada acara Petanque manakala 4 gangsa pula lahir menerusi Olahraga dan Memanah masing-masing 1 gangsa dan 2 daripada Taekwondo.

Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan beserta pengurusan tertinggi USM dan seluruh warganya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan atlet USM yang telah mencapai kejayaan dan memberi saingan sepanjang kejohanan berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Sementara itu, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Hj. Idrus Hj. Rapie pula berkata, kejohanan kali ini amat sengit dan telah memberi banyak pendedahan kepada barisan atlet USM untuk terus memberikan saingan yang terbaik untuk kejohanan akan datang.

USM menghantar atletnya untuk menyertai Sukan Hoki (Lelaki dan Wanita), Olahraga (Lelaki dan Wanita), Catur (Lelaki dan Wanita), Renang (Lelaki), Taekwondo (Lelaki dan Wanita), Memanah (Lelaki dan Wanita), Ping Pong (Lelaki dan Wanita) dan Skuasy (Lelaki dan Wanita).

Majlis Penutup Sukan Institusi Pengajian Tinggi, SUKIPT 2022 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Senator Dato' Dr. Ahmad Masrizal Muhammad dan turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato’ Dr. Hj. Megat Sany Bin Megat Ahmad Supian.

Terdahulu, Majlis perasmian SUKIPT telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob dan diserikan lagi dengan kehadiran YB Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, pada 14 Ogos 2022.

SUKIPT kali ini berlangsung daripada 12-21 Ogos 2022 di UPSI dan sekitar Tanjung Malim dan mempertandingkan sebanyak 21 acara sukan dan melibatkan penyertaan 66 institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia.

Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1260

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024