USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR TAHUN PERTAMA PP SAINS KOMPUTER NAIB JOHAN MTHQK 2022

USM PULAU PINANG, 6 Ogos 2022 – Berasal dari Kluang, Johor dan merupakan pelajar tahun pertama Pusat Pengajian Sains Komputer, Universiti Sains Malaysia (USM), Auni Nasuha Md Noh, 20, telah dinobatkan sebagai Naib Johan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2022 kali ke-64 kategori hafazan (tahap 1 – 20 juzuk), yang telah berlangsung pada 9 hingga 18 Jun 2022 lalu.

F3D43C48 2564 475A 86CD 6E9C2D23AD64

Sebelum menjejakkan kaki ke USM, anak kepada seorang pembantu am dan pembantu pegawai farmasi di sebuah hospital di Kluang ini telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Kluang dan kemudiannya melanjutkan pengajian menengah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencheh sehingga tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam sesi temubual melalui emel, Auni berkata sejujurnya, beliau berasa amat gementar sehari sebelum memperdengarkan hafazan beliau dan hati beliau berasa tidak tenang kerana memikirkan pelbagai kemungkinan yang akan berlaku semasa berada di atas pentas nanti.

“Semasa berada di atas pentas, saya cuba untuk menenangkan diri saya dan Alhamdulillah saya berhasil. Saya berpegang kepada nasihat jurulatih saya iaitu di atas pentas itu, hanya Allah yang boleh tolong kita,” katanya.

Apabila ditanya tentang rahsia kejayaan dalam bidang hafazan, sejujurnya beliau berkata beliau tidak mempunyai sebarang rahsia dan kejayaan yang dikecapi beliau adalah berkat dan hasil dari mereka yang mendoakan beliau dan ketenangan yang telah Allah kurniakan kepadanya.

“Saya percaya dengan diri saya dan serahkan segalanya kepada Allah dan Alhamdulillah, rezeki saya telah meraih Naib Johan dalam Hafazan 1 – 20 Juzuk Peringkat Kebangsaan pada tahun ini,” katanya lagi.

Menurut Auni, antara motivasi yang mendorong beliau untuk menyertai pertandingan tersebut adalah apabila beliau mendapat inspirasi daripada pelajar senior di MRSM beliau yang menyertai pertandingan hafazan.

Dari situlah beliau mula bersemangat untuk mengulang hafazan beliau dan selain itu, guru tasmik dan jurulatih hafazan beliau yang banyak membantu beliau dalam proses mengingat Al-Quran dan memperbaiki bacaan beliau dari segi tajwid, serta turut mendapat sokongan daripada kedua-dua ibu bapanya.

Tambah Auni, sekiranya beliau diberi peluang untuk menyertai pertandingan Hafazan, beliau akan terus menyertai pertandingan tersebut dan menghafal Al-Quran adalah penting kepada umat Islam, khususnya buat generasi muda.

“Menghafal Al-Quran penting kepada generasi muda kerana ilmu tajwid dapat dipelajari dengan lebih awal yang mana, semasa kita menghafal dan memperdengarkan (tasmik) hafalan kita kepada ustaz atau ustazah, kita akan dapat belajar hukum tajwid dan cara bacaan yang betul.

“Pertandingan seperti ini akan dapat melahirkan lebih ramai anak muda yang mampu membaca Al-Quran dengan bacaan tajwid yang betul dan barulah bacaan Al-Quran yang dibaca akan sedap didengar dan kita sendiri akan seronok dan puas hati dengan bacaan kita, walaupun tidak semestinya menghafal secara keseluruhan, sebahagian daripadanya pun sudah memadai,” tambahnya.

MTHQK 2022 yang berlangsung selama 10 hari itu telah diadakan di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar, Johor dengan penyertaan seramai 110 peserta tilawah dan hafazan mewakili 14 negeri.

Majlis dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 12 Jun yang lalu.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi

  • Created on .
  • Hits: 1083

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024