USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SIREH PULANG KE GAGANG – KISAH KEJAYAAN DUA ALUMNI AKTIF SUKAN

nuinda

PULAU PINANG, 15 Ogos 2013 –  Peluang untuk pulang ke kampus Universiti Sains Malaysia (USM) adalah sesuatu yang sering dinantikan mereka. Walau pun kampus USM telah banyak berubah, namun kenangan yang ditinggalkan sering menggamit untuk kembali lagi ke sini. 

Ketua pasukan hoki USM merangkap atlet hoki Pulau Pinang pada tahun 1980’an, Nuinda Alias sering tidak lupa apabila dia mengetuai pasukan hoki negeri Pulau Pinang menentang pasukan negeri Sabah yang dianggap sebagai “menderhaka” kepada negeri sendiri. 

Kini Nuinda adalah Pengetua Sekolah Menengah Maktab Sabah, Kota Kinabalu yang merupakan sebuah dari 14 buah pusat wilayah pengajian jarak jauh USM di negara ini.  

Nuinda mendapat ijazah Sarjana Muda Komunikasi pada tahun 1986 dan sangat aktif dalam kokurikulum termasuk ahli kebudayaan selain pemain hoki. 

“Saya sangat aktif semasa di USM dahulu dan banyak mengikuti rombongan pelajar ke Thailand dan juga Indonesia,” kata Nuinda yang juga pernah membawa pasukan hoki USM bermain di Perth, Australia. 

“Kerjaya saya sebagai pendidik bermula apabila selepas bergraduasi, saya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya bekerja sebagai guru sandaran sahaja. Kemudian saya ditawarkan biasiswa untuk mengikuti Diploma Pendidikan di universiti tempatan,” jelas beliau yang ditemui selepas Majlis Perjumpaan Naib Canselor bersama Pengetua Pusat Wilayah Rancangan Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (RPPJJ) USM di sini.

paizin

Sementara itu ahli “Jokers USM”, Nor Paizin Ibrahim adalah Pengetua Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) berkongsi perasaan gembira dengan Nuinda kerana dapat kembali ke USM. 

Paizin adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan pada tahun 1982 dan memulakan kerjaya  dalam bidang pendidikan sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Semanggol, Perak. 

Menurut Paizin, USM sekarang dibanding dengan dahulu sangat berbeza terutamanya Padang Minden, tempat beliau bermain ragbi. 

Selain itu, pembangunan yang pesat di dalam kampus adalah seperti sebuah bandar berbanding hanya kampus yang kecil pada masa dahulu. 

“Saya masih terus berhubung dengan ahli-ahli Jokers (pemain ragbi USM), kebetulan pula Pengerusi Persatuan Alumni SMSS dan juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMSS adalah ahli Jokers,” tambah beliau mengakhiri perbualan. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Yong Check Yoon

  • Created on .
  • Hits: 1308

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024