USM SAMBUT BAIK PROGRAM PEMERKASAAN PENDIDIKAN PENGUNDI MAHASISWA (UNDI 18)
PUTRAJAYA, 16 Ogos 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini bersama 17 lagi Universiti Awam (UA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Nota Kerjasama antara Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bagi Program Memperkasa Pendidikan Pengundi (Undi 18).
USM diwakili oleh Naib Canselornya, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan disertai oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlinda Azman.
Diadakan di Dewan Za'ba, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), majlis ini dihadiri oleh Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Tan Sri Abdul Ghani Salleh.
Menurut Noraini, beliau menekankan supaya dilaksanakan sesi libat urus bagi mendengar idea, pandangan dan memberi kesedaran terutamanya berkaitan literasi politik berhubung Undi18 kepada pelajar-pelajar IPT.
“Matlamatnya adalah supaya golongan pelajar yang prihatin dengan sistem pemerintahan negara dan berupaya menyumbang kepada pembentukan kerajaan berdemokrasi dapat dilahirkan,” jelasnya.
Sementara itu, bagi Abdul Ghani pula, perjanjian hari ini merupakan sejarah yang tersendiri kerana merupakan satu inisiatif hebat buat para mahasiswa. Pilihan raya telus dan mencapai matlamatnya.
“Sehingga Julai 2022, Daftar Pemilih Negara Malaysia berjumlah 21.1 juta orang iaitu 1.1 juta pemilih merupakan mereka yang berumur 18-20 tahun dan 4.6 juta pemilih pula berumur 21-29 tahun,” menurut beliau.
Bagi USM pula, inisiatif ini disambut baik dan merupakan satu langkah dan pendedahan awal dalam memberi pendidikan kepada mahasiswa berkaitan dengan tanggungjawab sebagai pengundi kelak.
KPT melalui kerjasama dengan UA dan SPR sedang melaksanakan beberapa bentuk program pendidikan pengundi kepada mahasiswa bagi memberi pendedahan berhubung sistem demokrasi, pilihanraya dan politik negara serta meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Turut hadir sama ke program ini ialah Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, barisan kepimpinan tertinggi KPT dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
UA yang terlibat adalah USM, UM, UMS, UUM, UPM, UKM, UTM, UNIMAS, UPSI, UMK, UNIMAP, UTEM, UMT, USIM, UTHM, UMP, UNISZA, dan UPNM.
Teks & Foto: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1090