USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEMBALI KEPADA ASAS, KATA NC


Ikrar
Pulau Pinang, 15 Ogos - Jika kita percaya bahawa, pengajian tinggi dan ilmu pengetahuan sangat bererti dalam kelangsungan masa hadapan umat dan alam seluruhnya, maka kita perlulah kembali kepada asas yang ada. Kita tidak boleh hanya bercita-cita ingin dianggap hebat semata-mata apabila orang lain mengatakan kita hebat.  

“Sebaliknya kehebatan akan datang dengan sendiri apabila apa yang dilakukan berupaya memberi impak besar kepada orang lain dengan dijadikannya sebagai rujukan dan orang dapat berkongsi apa yang dimiliki atau dihasilkan,” kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dalam amanatnya kepada mahasiswa baharu pengajian jarak jauh pagi ini.  

Tambahnya lagi, seseorang perlulah berhasrat dan menanam cita-cita, bukan sahaja meniru ilmu dari orang lain, tetapi menjadi rujukan dan mencipta teknologi baharu yang memanfaatkan dunia seluruhnya.  

“Jangan pula sampai melepaskan apa yang ada, hanya untuk memenuhi tuntutan orang lain demi untuk mengiktiraf dan mengatakan kita ini hebat,” katanya lagi.  

Omar bercakap kepada kira-kira 2,870 orang yang mengikuti empat program ijazah pertama dengan 1,199 orang yang mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dan selebihnya mengikuti  Program Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan, Sarjana Muda Sains dan Sarjana Muda Sastera. Mereka terpilih daripada kira-kira 5,000 permohonan masuk yang diterima pada masa ini.  

Naib Canselor USM turut menasihati pelajar supaya memahami tujuan mereka belajar dan mengikuti pengajian tinggi.  

“Jadilah mahasiswa yang mampu membanggakan Universiti ini, mengharumkan nama negara dan bangsa apatah lagi membanggakan diri sendiri  dengan mengukir kejayaan sebagai seorang pencinta ilmu yang berusaha menguasai ilmu dan kemudiannya dapat kembalikannya kepada masyarakat,” jelas Omar.  

Inilah perkara asas yang perlu difahami sebagai seorang yang mencari ilmu iaitu jelas tentang maksud dan tujuan berada di universiti dengan niat yang  betul melalui usaha menguasai ilmu untuk kebaikan dan faedah kepada diri sendiri, masyarakat dan negara, malah juga dunia seluruhnya, jelasnya lagi.  

Katanya, asas kepada kejayaan dalam menerokai ilmu sejak zaman berzaman adalah bertolak daripada kecintaan kepada ilmu dan menjadi rujukan dan titik tolak untuk orang lain datang kepada kepada mereka, bukan dalam satu bidang, malah pelbagai bidang.  

“Yang penting bukan memperlihatkan dari segi kulit atau luarannya semata-mata, tetapi dalamannya yang kuat, dengan “substance” dan isi yang meyakinkan,” tegas Omar lagi. 

VC

Naib Canselor turut menekankan hasrat untuk mentransformasikan pengajian jarak jauh USM dengan kemungkinan memberikan autonomi penuh untuk diterokai segenap peluang yang ada untuk tujuan tersebut.  

“Universiti berhasrat untuk mentransformasikan sepenuhnya pengajian jarak jauh dengan kemungkinan memberikan autonomi penuh dan berdaya maju dalam menghadapi segala cabaran dan perubahan yang berlaku di seluruh dunia  termasuklah misalnya bagaimana menyesuaikan sistem pengajian jarak jauh yang ada dengan cabaran semasa iaitu  penawaran pengajian dan kursus yang berstruktur secara konvensional dan tradisional yang menganugerahkan ijazah dan sebagainya  untuk  berhadapan dengan penawaran atas talian secara besar-besaran yang dikenali sebagai Massive Online Open Courseware (MOOC) yang mempunyai pengikut amat besar untuk mendapatkan ilmu pengetahuan secara terbuka walau pun tanpa penganugerahan ijazah serta bagaimana untuk kedua-duanya berupaya berjalan seiring sebagai  mekanisme pencarian ilmu sepanjang hayat kepada masyarakat sejagat sebagai satu  nilai tambah,” kata Omar.  

Menurutnya lagi, transformasi yang dilakukan mestilah berasaskan kepada pemikiran, kerelevanan, realistik dan keseluruhan sikap dan amalan yang ada, termasuk tata cara dan kemungkinan melihat dari aspek-aspek yang dianggap konvensional dan tradisi yang mungkin tidak lagi sesuai.  

“Semua ini adalah antara asas penting untuk sebuah universiti berani berfikir dan bertindak untuk berada di hadapan, sesuai dengan perubahan zaman apatah lagi jika boleh dapat mendahului zaman,” katanya lagi.  

Beliau menggesa untuk mahasiswa dan warga kampus melihat dan membuat muhasabah yang berterusan tentang tujuan belajar dan mengajar, tujuan memberi dan mencari ilmu, tujuan dan perbezaan sebuah universiti dan menara ilmu dengan sesebuah kilang atau institusi pendidikan lain kerana apalah ertinya kita mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, mendabik dada dengan kehebatan sebagai seorang mempunyai ijazah sedangkan tidak mampu pun untuk menjaga kemashlahatan masyarakat dan mereka yang berada di sekelilingnya.  

Hadir di majlis tersebut ialah Timbalan-timbalan Naib Canselor, Dekan-dekan dan para pensyarah Pusat Pengajian Jarak Jauh USM serta pengetua 14 pusat wilayah USM dari seluruh negara di samping Ketua Sektor Dasar, Kementerian Pendidikan Malaysia Mohd. Yong Salleh.  

Pada majlis yang sama, pelajar ijazah Sarjana Muda Pengurusan, Isma Zaidi Ismail, 38, seorang Pegawai Latihan Vokasional dari Ipoh memimpin bacaan ikrar pelajar.  

Pendaftaran pelajar pengajian jarak jauh USM kali ini turut menyaksikan kehadiran pelajar berusia 73 tahun, Mohd Yusoff Ibrahim yang turut mendaftar mengikuti pengajian Sarjana Muda Sastera.  

Selepas upacara tersebut, Naib Canselor kemudiannya mempengerusikan perjumpaan rasmi pertama kali dengan pengetua pusat-pusat wilayah pengajian jarak jauh USM dari seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak yang diadakan di Institut Pengajian Siswazah USM.  Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohamad Danial Shahri dan Yong Check Yoon

  • Created on .
  • Hits: 1137

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024