TIGA PELAJAR SERTAI MISI YSS TERUJA DENGAN PENGALAMAN YANG DILALUI
USM PULAU PINANG, 15 Ogos 2022 – Tiga orang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) yang mengikuti Misi Sukarelawan Siswa Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) - ASEAN Green Summer Volunteer Campaign (GSVC) Vietnam 2022 pada 17 Julai hingga 12 Ogos 2022 sangat teruja dengan pengalaman yang dilalui.
Berkongsi pengalamannya, pelajar tahun 3, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Nur Husna Binti Muhammad Hisham Chua berkata, banyak cabaran yang dihadapi antaranya ialah sukar mencari makanan yang halal.
"Banyak tempat dan kawasan yang tidak mesra makanan halal. Jadi, kami menghadapi masalah untuk mendapatkan sumber bahan mentah dan makanan halal.
"Di pasar, kebanyakannya menjual daging kinzir bersebelahan dengan ikan-ikan. Ayam juga perlu disembelih sendiri," kata Nur Husna.
Tambahnya lagi, komunikasi juga menjadi cabaran besar kerana komunitinya juga rata-rata tidak mahir berbahasa Inggeris.
"Jadi, sukarelawan siswa yang berada di sana agak sukar untuk berkomunikasi dengan masyarakat setempat," katanya lagi.
Pelajar tahun 3, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Muhammad Rahim Bin Zaidi pula bercerita, memandangkan mereka dipecahkan kepada kampung @ commune yang berbeza, program juga kebanyakan berbeza tetapi ada yang sama.
"Misalnya saya, ditempatkan di Tan Nhut Commune, Binh Chanh District bersama-sama 17 orang sukarelawan yang lain. Terdapat lebih 50 buah projek yang telah berjaya dijalankan sepanjang di sana.
"Namun projek yang berimpak yang kami laksanakan ialah pembinaan jalan sepanjang 100 meter secara manual, projek Self-Assuredness di bawah Kluster Pendidikan, dan projek Learn The Ocean di bawah Kluster Pemerkasaan Komuniti (Community Empowerment).
"Ketiga-tiga projek ini memberi impak kepada masyarakat dengan jumlah penerima manfaat yang besar, berteras kelestarian, dan jumlah jam yang diperlukan untuk melengkapkan projek," kata Muhammad Rahim.
Menurutnya lagi, projek pembinaan jalan raya memberi manfaat kepada lebih 10 buah keluarga. Hasil projek ini memudahkan pengangkutan darat penduduk kampung untuk ke jalan utama. Proses pembinaan ini termasuklah proses pembersihan, pengagihan batuan, pemampatan batuan dan penyimenan.
"Bagi memastikan elemen lestari, kami turut mendapatkan khidmat kontraktor tempatan untuk memudahkan ketua kampung mendapatkan pertolongan baik pulih sekiranya berlaku kerosakan pada masa hadapan," tambahnya lagi.
Projek "Self-Assuredness" pula melibatkan murid-murid sekolah rendah (berumur 6-8 tahun). Penguasaan Bahasa Inggeris yang rendah dan lemah dalam kalangan kanak-kanak merupakan sebab utama projek ini dilaksanakan.
Projek ini melibatkan 3 sesi selama 3 minggu untuk memfokuskan kepada murid-murid untuk tahu, yakin, dan boleh bercakap di khalayak ramai.
"Kami telah mengenal pasti murid yang lemah dan baik untuk dibimbing sehingga berjaya mencapai objektif program. Impak program ini diukur melalui perkembangan murid setiap sesi. Setiap pembuktian direkodkan secara visual bergambar dan video," kata Muhammad Rahim.
Jelasnya, projek "Learn The Ocean" pula ialah untuk menghasilkan mural di sekolah.
"Kami terlebih dahulu melakukan kajian dan perbincangan dengan pihak sekolah. Hasil tersebut, mendapati demografi commune di sini begitu jauh dengan lautan menyebabkan penduduk di sini sukar mendapatkan sumber lautan, jauh sekali untuk mereka berkunjung ke sana.
"Kanak-kanak di sini juga kurang mendapat pendedahan mengenai hidupan lautan. Oleh itu, kami sepakat untuk membawa hidupan lautan yang diterjemahkan kepada bentuk mural di sekolah. Selesai mural, kami mengajar murid-murid di sekolah dan anak-anak setempat mengenali hidupan lautan," ceritanya lagi.
Manakala pelajar tahun pertama dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Tan Boon Huang pula gembira dengan penerimaan penduduk terhadap projek yang dilakukannya.
"Pasukan saya mengendalikan program Interaktif Bahasa Inggeris dan Literasi Digital yang mendidik pelajar kampung tentang Bahasa Inggeris dan pengenalan kepada penggunaan beberapa perisian seperti Word, Power Point, Excel, Message Box VBS dan lain-lain.
"Pendekatan "fun learning" dalam mendidik penguasaan Bahasa Inggeris secara interaktif sambil bermain "games" berupaya meningkatkan keupayaan mereka menguasainya dan mereka berkongsi perasaan gembira dapat belajar yang menjadikan saya sangat teruja," kata Boon Huang.
Boon Huang juga berpeluang mengambil bahagian dalam "Cuisine Exchange" yang melibatkan sukarelawan YSS, Sukarelawan Vietnam dan Pertumbuhan Wanita Vietnam, sebuah organisasi sosio-politik yang mewakili dan memperjuangkan hak wanita dari segi perundangan.
"Saya berpeluang menyertai sesi memasak juadah Vietnam - Banh Xeo, sejenis makanan seperti popiah yang di dalamnya diletakkan inti yang mendapat perhatian mereka," katanya lagi.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 505