DORONGAN DAN SEMANGAT MENUNTUT ILMU
PULAU PINANG, 15 Ogos 2013 – Dorongan dan sokongan keluarga yang begitu kuat membuatkan dua warga emas mendaftar diri sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Sastera secara pengajian jarak jauh di Universiti Sains Malaysia baru-baru ini.
Mohd Yusoff Ibrahim, 73 dan Osman Ayob, 62 adalah rakan seperjuangan di dalam bidang penulisan terutamanya penulisan puisi. Mereka ini telah mengenali antara satu sama lain lebih 23 tahun yang lalu dan kini ditakdirkan belajar dalam bidang dan universiti yang sama walaupun tidak berjanji.
“Saya mencabar diri untuk menuntut ilmu selagi termampu,” kata Yusoff selepas selesai Majlis Ikrar Pelajar Baru di sini hari ini. Beliau yang berasal daripada Kedah mempunyai empat orang anak dan pernah bekerja sebagai guru sandaran dan juga pesuruhjaya sumpah.
Osman lebih dikenali dengan penulisan cerpen kanak-kanak dan remaja dan novel terkini beliau ialah CEO Baru yang diterbitkan kurang dua bulan yang lalu. Beliau yang mempunyai seorang anak dan cucu menetap di Alor Setar, Kedah sangat meminati bidang penulisan cerpen dan puisi sejak di Tingkatan Lima lagi. Kini, beliau telah menulis lebih 15 buah novel dan juga 150 cerpen untuk surat khabar dan juga majalah.
“Semestinya sokongan dan dorongan keluarga membuatkan saya berada di sini,” kata Osman yang memilih untuk Skim Perpisahan Sukarela (Voluntarily Separation Scheme, VSS) semasa bekerja di Jabatan Telekom Malaysia (kini Telekom Malaysia Berhad) sebagai Pegawai Trafik.
Kedua-dua pelajar ini adalah antara 2870 orang pelajar Rancangan Pengajian Jarak Jauh yang akan mengikuti kelas di wilayah masing-masing seperti di Kuantan, Ipoh, Sabah, Sarawak dan juga Alor Setar. Semua pelajar yang berdaftar juga harus mengikuti minggu orientasi yang dikenali sebagai Minggu Siswa Lestari selama lebih kurang lima hari di sini. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohamad Danial Shahri dan Yong Check Yoon
- Created on .
- Hits: 2203