‘IKON ANAK SAINS MARA’ TURUN PADANG KONGSI PENGALAMAN DAN MOTIVASI BUAT PELAJAR CEMERLANG MRSM ULUL ALBAB KEPALA BATAS
KEPALA BATAS, PULAU PINANG, 13 Ogos 2022 – ‘Ikon Anak Sains Mara’ yang juga Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed hadir meluangkan masa berkongsi pengalaman dan kecemerlangan pendidikan beliau di majlis Mendukung Aspirasi Gemilang SPM 2022, anjuran Maktab Rendah Sains Mara Ulul Albab (MRSMUA) Kepala Batas, Pulau Pinang.
Program melibatkan 135 orang pelajar cemerlang tingkatan lima dari maktab tersebut yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Perperiksaan Malaysia (SPM) pada tahun ini, hadir bersama ibu bapa mereka ke majlis berkenaan sambil berpeluang mendengar ceramah motivasi oleh Ikon Anak Sains Mara tersebut.
Abdul Rahman, yang juga alumni Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kulim, Kedah (kini dinaik taraf sebagai Kolej MARA Kulim) tahun 1977-1981 turut berkongsi pengalaman, liku dan cabaran beliau sepanjang pengajian di MRSM sehingga mengecapi pelbagai kejayaan di peringkat tertinggi negara.
Turut sama hadir ke majlis berkenaan adalah Pengetua Maktab Rendah Sains Mara Ulul Albab (MRSMUA) Kepala Batas, Pulau Pinang, Tuan Haji Syauqi Mohd Noor; Pengarah MARA Negeri Pulau Pinang, Norsiden Ahmad; barisan tertinggi Muafakat MRSMUA Kepala Batas, pegawai-pegawai utama MRSM dan para guru.
Program libat sama komuniti itu merupakan salah satu aktiviti utama USM bagi mendokong aspirasi negara bagi melahirkan pelapis-pelapis bumiputera yang bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan, bahkan bidang keusahawanan demi menggalas kepimpinan negara di masa mendatang kelak.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1307