USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SENTIASA GHAIRAH ILMU, KATA IBRAHIM AHMAD BAJUNID

usmbajenid1

 

PULAU PINANG, 14 Ogos 2013 - Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) diseru agar sentiasa menjadi seorang ghairah ilmu dan berusaha untuk menguasainya sebaik mungkin dalam menyiapkan diri menghadapi cabaran masa hadapan serta dapat membangunkan sahsiah intelektual dan maruah diri.

Menurut seorang tokoh akademik dan ilmuwan negara yang juga Timbalan Naib Canselor, INTI International University Dato’ Profesor Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid, dengan ilmu pengetahuan seseorang itu berupaya untuk membangunkan kapasiti intelektualnya dan menjadikannya berbeza dengan mereka yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan.

“Menguasai ilmu pengetahuan menjadikan kita seorang yang bermaruah, membuatkan seseorang penuh dengan maklumat dan berupaya mrembuat keputusan-keputusan penting dalam hidupnya, kepimpinan dan menentukan masa hadapan termasuk untuk nusa dan bangsanya,” kata Ibrahim.

Beliau menyampaikan syarahan kepada kira-kira 2,000 orang mahasiswa baharu pengajian jarak jauh USM yang bertajuk “Sahsiah Intelektual Pemimpin Fikir Anjakan Paradigma Pembinaan Budaya Kecemerlangan” di sini hari ini.

usmbijanid2

Ibrahim turut mengupas tentang  pendemokrasian pendidikan tinggi  dan usaha menjadikan Malaysia menjadi pusat kecemerlangan serantau dengan kini membolehkan negara ini menduduki tempat kesembilan di dunia sebagai pilihan pelajar antarabangsa yang sekaligus membolehkan berupaya membangunkan set minda global.

“Bagi USM, pengajian jarak yang dimulai dan diunggulinya ini sewajarnya menjadi satu keistimewaan yang dihargai oleh para mahasiswanya dan tidak menjadikan saudara-saudari merasa rendah diri sedangkan sebahagian besar mahasiswa pengajian jarak jauh begitu istimewa dengan kelebihan pengalaman yang dapat diadunkan dengan ilmu yang relevan dan berupaya pula menjadikan kuliah dan pengajian sebagai medan perbincangan dan wacana ilmu yang matang,” nasihat Ibrahim.

Tambahnya lagi, beliau gembira dengan langkah yang diambil oleh USM untuk mempelopori usaha menjaga alam sekitar yang dicontohi oleh pelbagai pihak, mengungguli usaha membangunkan kelestarian alam dan menjaga ekosistem yang ada, apatah lagi bagi mereka yang semasa zaman kecilnya sebagai anak Pulau Pinang, melihat sendiri bagaimana kem-kem tentera British dijaga dengan baik dan bersih.

“Kampus USM ini menjadi tempat saya berbasikal dan melihat sendiri kem-kem yang ada yang selalunya dibuka untuk dilawati oleh orang-orang tempatan, malah amat gembira melihat usaha yang dilakukan oleh USM dengan membangunkan konsep Kampus Dalam Taman di sini,” kata Ibrahim.

Ibrahim turut menasihati para mahasiswa agar sentiasa berusaha menjadi seorang kreatif, inovatif dan kaya dengan daya imaginasi kerana mereka yang berupaya berbuat demikian mampu memberi sumbangan besar dalam pembangunan dan masa hadapan selari dengan penguasaan kemahiran insaniah lain termasuk komunikasi, pemikiran kritis, pembangunan kercerdasan-kecerdasan lain, keupayaan mengenal diri dan muhasabah, usaha membangunkan perwatakan sahsiah yang bersesuaian, integriti yang tinggi dan lain-lain lagi yang perlu dibangunkan secara berterusan.

DSC 0135

 

Hadir sama di majlis ini ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar) Profesor Dr. Adnan Hussein yang sebelum itu memberi taklimat dan syarahan khas kepada mahasiswa baharu tersebut serta Dekan, Pusat Pengajian Jarak Jauh USM, Profesor Madya Dr. Habibah Lateh bersama-sama Timbalan-timbalan Dekan  dan pegawai-pegawai kanan USM yang lain.

Kemuncak Program Siswa Lestari yang diadakan selama empat hari mulai kelmarin ialah Majlis Sambutan Siswa pada esok hari,  Khamis, 15 Ogos 2013, jam 10.00 pagi di Dewan Tuanku Syed Putra.

Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman akan menyampaikan amanat beliau kepada mahasiswa baharu tersebut. – Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1245

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024