KERJASAMA TINGKATKAN PEMBANGUNAN DAN KECEMERLANGAN BAKAT
KUALA LUMPUR, 12 Ogos 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menandatangani persefahaman dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan KPMG untuk bekerjasama untuk kecemerlangan akademik dan pembangunan bakat dalam kalangan pelajar dan pensyarah.
USM menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang pertama dengan MARA pada 31 Mei 2012 untuk penawaran program Pra-U.
Sehingga tahun 2021, daripada 12 program pengajian yang terlibat, seramai 1,392 graduan Pra-U USM telah dilahirkan dan 1,268 daripadanya merupakan graduan yang telah berjaya memperolehi Ijazah Kelas Pertama.
Menurut Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato' Seri Dr. Awang Adek Hussin, kejayaan ini membuktikan usaha kedua-dua pihak untuk meningkatkan bilangan siswazah cemerlang menunjukkan hasil yang membanggakan.
"USM akan terus bekerjasama dengan semua pihak untuk berusaha meningkatkan kualiti bakat yang ada untuk memasuki pasaran pekerjaan serta mampu menyesuaikan diri dan menghadapi persaingan," katanya lagi.
Majlis ini dihadiri Pengerusi MARA, Datuk Seri Panglima Hajah Azizah binti Dato' Seri Haji Mohd Din; Ketua Pengarah MARA, Dato' Azhar Abdul Manaf; Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan; Rakan Pengurusan KPMG, Datuk Johan Idris; dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed serta pegawai-pegawai tinggi MARA, KPMG dan USM.
USM menandatangani persefahaman dengan KPMG untuk menyediakan tempat latihan industri dan bekerjasama dalam pembangunan bakat pelajar dan pensyarah.
KPMG ialah badan jaringan antarabangsa yang ditubuhkan sejak 1928 yang menawarkan perkhidmatan audit dan percukaian serta merupakan perunding perniagaan yang berpengalaman luas.
Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1221