USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SELANGKAH PERKONGSIAN ILMU KE PERINGKAT GLOBAL: DEMI ANAK BANGSA PUSAT RANCANGAN KOKURIKULUM - CAIRO, MESIR

USM PULAU PINANG, 12 Ogos 2022 – Untuk menjadi sebuah negara yang maju dan mampan, maka usaha yang berterusan perlu dilaksanakan bagi melahirkan generasi muda yang peka terhadap isu-isu semasa seperti kelestarian, kepimpinan, perumahan, dan ekonomi, di samping mampu berbahas dan memberikan pandangan tentang permasalahan tersebut.

1F25F5F2 02CF 49D7 B920 7B3B64075D0B

Justeru itu, dengan penuh rasa tanggungjawab, Pusat Rancangan Kokurikulum Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan program perkongsian ilmu di Cairo, Mesir bagi membantu membentuk mahasiswa yang berdaya saing dan berfikiran global khususnya anak kelahiran Pulau Pinang ke arah insan HEBAT.

Program perkongsian ilmu itu dirangka dan dilaksanakan oleh Pusat Rancangan Kokurikulum dengan kerjasama Bahagian Penyelarasan, Jabatan Perdana Menteri, Kedutaan Malaysia di Cairo Mesir, Bahagian Pendidikan Malaysia Egypt dan Persatuan Mahasiswa Anak Pulau Pinang-Mesir.

Ia dilaksanakan pada 23-24 Julai 2022 di Wisma Pahang, Mesir dan telah dirasmikan oleh Duta Besar Malaysia ke Mesir, TYT Zamani Ismail.

Program tersebut bermatlamat utama bagi meningkatkan kefahaman serta mencungkil bakat mahasiswa dalam memberikan pandangan berkaitan dengan topik-topik yang dibincangkan.

Hal ini penting dalam membantu kelangsungan dan kelestarian pembangunan Negeri Pulau Pinang khususnya dan negara Malaysia amnya bagi menuju kecemerlangan berterusan.

Dalam ucapannya, Zamani banyak menyentuh tentang pentingnya pelajar-pelajar Malaysia yang berada di luar negara untuk menyemai pemikiran kritis kepada masyarakat, menjadi ejen promosi budaya Malaysia, menjadikan perpaduan kaum di Malaysia sebagai aspirasi masyarakat luar negara dan memastikan Malaysia terus maju.

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pusat Rancangan Kokurikulum, USM yang telah menyumbang tenaga bagi menjayakan program yang julung kalinya diadakan bersama pelajar di Mesir.

Manakala Pengarah Pendidikan Malaysia-Egypt, Muhamad Khairi Abdullah mengharapkan agar program ini dijadikan acara tahunan untuk mengeratkan lagi hubungan dengan USM.

Hasil tinjauan pendapat setelah tamat kursus selama dua hari, telah memberi gambaran bahawa peserta dapat meningkatkan keupayaan, kesukarelawanan dan potensi pemimpin dalam setiap situasi; penyertaan mahasiswa dalam politik matang melalui pendekatan pengurusan ilmu dan maklumat; mendepani permasalahan pemilikan rumah untuk golongan mahasiswa; mengurus tadbir kelab-kelab sukarelawan dan NGO dengan berkesan serta persediaan untuk menghadapi cabaran IR4.0, isu dan masalah.

Kesimpulannya, keterlibatan mahasiswa amatlah penting dalam menentukan halatuju dan kejayaan sesebuah negara untuk kelangsungan generasi mendatang.

B4D50E69 502C 482D 9742 F0A2717E08CB

#sayheart@ko-k
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Teks asal & Foto: Prof. Madya Dr. Mohd Sayuti Hassan (Timbalan Pengarah, Pusat Rancangan Kokurikulum USM)/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 434

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024