MENYAMBUT AIDILFITRI DI PERANTAUAN
PULAU PINANG, Ogos 2013 – Menyambut Aidilfitri di perantauan pastinya mengundang rasa sedih. Walaupun diselubungi perasaan pilu dan merindui untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang di kampung halaman, namun ia tidak menghalang dua pelajar antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM) untuk merasai suasana dan nikmat berhari raya di Malaysia.
Kedua-dua pelajar tersebut – Elham Farsi dari Iran dan Sami Abdulla Mohsen dari Yemen – akan menyambut Syawal jauh di perantauan. Farsi mempunyai rancangan untuk meraikan dengan rakan-rakannya di Perlis manakala Sami akan menyambut Hari Raya bersama kawan-kawannya untuk tahun ketiga berturut-turut.
Sami, 29, seorang pelajar baru PhD USM dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik berasal dari keluarga besar seramai 12 adik-beradik, menyatakan rasa sedihnya kerana tidak berpeluang untuk menyambut bersama keluarganya, terutamanya berkongsi makanan dan kuih-muih dengan mereka dari pinggan yang sama.
"Sambutan Hari Raya di kampung halaman saya di Ta'izz akan berterusan selama dua minggu," katanya, menjelaskan bahawa Ramadan berakhir dengan solat subuh di masjid.
"Kami kemudian akan mengucapkan salam aidilfitri kepada sesiapa yang kami temui dalam perjalanan balik ke rumah dan menjemput mereka ke rumah kami untuk menerima barakah (berkat atau Rahmat Ilahi)," kata Sami.
Tahun lepas, dia pergi ke Putrajaya bersama rakan-rakannya pada hari pertama Raya dan melawat Perdana Menteri YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak di rumah terbuka beliau. Walaupun berpeluang bertemu dengan Perdana Menteri dan orang kenamaan pada hari itu, namun dia masih merindui keluarganya di Yemen.
Sementara itu, bagi Elham Farsi pula, 27, yang sedang mengikuti pengajian PhD dalam bidang sains farmaseutikal dan dijangka akan tamat pengajian pada tahun 2017, inilah kali pertama dia berhari raya di perantauan.
Anak sulung daripada lima adik-beradik, Farsi juga merindui keluarganya di Shiraz. Biasanya dia akan mengerjakan solat subuh bersama mereka pada pagi Raya sebelum menziarahi datuk dan neneknya serta saudara-maranya.
"Tahun ini saya akan menyambut Hari Raya dengan kawan-kawan saya di Perlis," katanya. "Memandangkan aidilfitri disambut dengan begitu meriah oleh umat Islam di Malaysia, ia sedikit-sebanyak membantu mengurangkan kerinduan saya pada kampung halaman semasa perayaan ini."
Seorang lagi pelajar antarabangsa, Mohammed Thaif, 24, dari Bangalore, India, yang telah berada di Malaysia selama dua tahun, dan dijangka akan menamatkan pengajiannya dalam Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) pada bulan April depan, agak bertuah pada tahun ini kerana berpeluang menyambut aidilfitri di kampung halaman.
"Saya amat teruja kerana tahun ini saya dapat pulang ke kampung saya di Bangalore pada 4 Ogos untuk menyambut Hari Raya," katanya, tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya.
Mohammed Thaif berkata walaupun Hari Raya adalah perayaan satu hari di Bangalore, bandar ini akan menjadi sibuk dengan mereka yang membeli belah terutamanya kanak-kanak yang mencari pakaian baru Raya beberapa minggu sebelumnya.
"Pada pagi Raya, kami sekeluarga akan bersarapan dahulu di rumah sebelum solat di masjid dengan saudara-mara," katanya. "Kami kemudian mengunjung rumah bapa saudara saya, pergi berkelah di pantai, dan berakhir dengan makan malam bersama ahli keluarga.
“Namun begitu, saya dapati sambutan Aidilfitri di Malaysia lebih meriah berbanding di negaranya,” ujar Thaif. - Terjemahan: Tan Ewe Hoe/Foto: Yong Check Yoon
- Created on .
- Hits: 1193