USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RAI PELAJAR CEMERLANG PROGRAM empowerNCER-Akademik

IMG 0056

USM PULAU PINANG, 4 Ogos 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) meraikan semua pelajar yang mendapat keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 hasil Program empowerNCER-Akademik Pulau Pinang.

Program empowerNCER-Akademik dilaksanakan melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM dengan dana oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bagi kohort kedua yang meliputi 25 buah sekolah di lima daerah negeri Pulau Pinang melibatkan seramai 1,000 calon SPM 2021.

Kejayaan yang membanggakan berjaya direkodkan dalam program ini dengan 98% peserta lulus keseluruhan dan mendapat sijil SPM, 79 peserta mencapai Gred 5A dan ke atas, Gred Purata Murid meningkat sebanyak 58% dan 8 pelajar terbaik program turut menerima telefon pintar untuk kegunaan ke pengajian tinggi.

Pada majlis ini juga, alumni USM yang merupakan pengacara dan selebriti TV terkenal Ahmad Fedtri Yahya dinobatkan sebagai Ikon Program ini.

IMG 0013

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, juga merangkap Penaung Program hadir menyampaikan cenderamata dan hadiah kepada lapan 8 orang pelajar terbaik iaitu Nurul Syafika Binti Mohd Zairi, SMK Sungai Nibong; Bernice Chang Qi Ern, SMJK Chung Hwa Confucian; Nisa Nabiihah Binti Mohamad Azhar, SMK Datuk Haji Abdul Kadir; Siti Humaira Syamimi Binti Azmi, SMK Abdullah Munshi; Nur Batrisyia Binti Md Radzi, SMK Mengkuang; Nur Amiesya Hanis Binti Zakaria, SMK Dato' Haji Hassan Noh; Gooi Qian Ya, SMK Bakti; dan Muhammad Faris Bin Mohd Salmi, SMK Teluk Kumbar.

Menurut Naib Canselor, program ini telah mencapai matlamatnya iaitu untuk menyeimbangkan jurang taraf sosioekonomi masyarakat melalui penyediaan pendidikan holistik kepada pelajar golongan B40 (SPM) demi kecemerlangan pendidikan dan kemahiran insaniah mereka.

IMG 0074

Yang hadir sama dalam majlis ini ialah Pengarah Bahagian Modal Insan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datin Shahdee Dato' Ahmad; Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pengarah Urusan Kumpulan USAINS Holding Sdn. Bhd., Farid Wajidi Mat Yusoff; Ketua Program/Felo Penyelidik USM, Syed Yusof Syed Kechik; dan Ketua Program Bersama USM, Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail.

Program empowerNCER-Akademik Pulau Pinang ini memberikan fokus kepada sekolah yang mempunyai pelajar dalam kalangan B40, Gred Purata Sekolah 5.0 ke atas, tiada bantuan sokongan akademik tambahan daripada sumber lain dan daripada kalangan pelajar pelbagai bangsa.

Penekanan diberikan kepada kehadiran dalam program, lulus dengan mendapat sijil SPM serta peningkatan gred pencapaian kepada lebih baik dan sokongan kepada pelajar agar mencapai tahap cemerlang.

IMG 0125

Pelajar juga akan diberikan khidmat bimbingan kerjaya sehingga mendapat penempatan untuk melanjutkan pengajian tinggi dalam bidang akademik atau TVET.

Ketika ini pihak USM sedang menggembleng tenaga kaunselor bertauliah serta ‘coaches’ dan akan terus membantu pelajar lepasan SPM 2021 kohort ini dalam usaha untuk memastikan mereka mendapat tempat di peringkat pengajian seterusnya bagi menjamin masa hadapan, selaras dengan hasrat program merapatkan jurang kemiskinan melalui pembangunan pendidikan ahli keluarga dalam kalangan B40 di negeri Pulau Pinang.

Teks: Mohamad Abdullah (Pejabat Naib Canselor)/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 462

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024