KUKUHKAN UKHUWAH DAN BEKERJA BERSAMA TINGKAT TAMADUN ILMU
PULAU PINANG, 8 Ogos 2013 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman hari ini menyeru umat Islam khususnya warga universiti untuk mengukuhkan ukhuwah dan bekerja bersama-sama untuk meningkatkan tamadun ilmu.
Berucap kepada jemaah di Mesjid Al-Malik Khalid sebelum mengerjakan solat sunat Aidilfitri hari ini, Naib Canselor mengajak para umat Islam meneruskan didikan Ramadhan yang telah dijalani dengan mengeratkan jalinan ukhwah dan bekerja bersama-sama-seperti mana yang ditunjukkan melalui amalan bergotong royong memasak untuk Ifthaar, bersedekah jariah, menziarah mereka yang terlantar dan bergelandangan dan lain-lainnya.
"Semuanya kita lakukan dengan tulus ikhlas, seikhlas amal ibadah kita kepada Allah s.w.t yang datang dari hati nurani dan qalbu kita dalam menegakkan Syiar Islam termasuk melalui solat-solat sunat dan tarawih, membaca dan menghayati isi Al-Quran dan pelbagai lagi yang semuanya kita lakukan hanya kerana Allah," kata Omar.
Naib Canselor turut merakamkan penghargaan kepada Imam Damam Madinah, Syeikh Ahmad Hamd Al-Sa’id Ali’ Abd Al-Qadir yang bersama-sama USM sepanjang Ramadhan ini. Omar turut menyeru para pelajar terutamanya dari luar negara untuk mengambil kesempatan memahami kepelbagaian budaya yang terdapat di Malaysia sepanjang sambutan ini dan menghargainya dalam semangat satu agama walaupun caranya berbeza.
"Saya menyeru untuk kita teruskan usaha untuk bersama-sama membangunkan syiar Islam dan memastikan kita adalah umat yang cemerlang dan berupaya untuk membangunkan sebuah tamadun ilmu yang bermanfaat untuk kelangsungan dan kelestarian masa hadapan," kata Naib Canselor.
Mesjid AlMalik Khalid dipenuhi para jemaah yang terdiri dari warga USM dan masyarakat sekitar termasuk warga antarabangsa. Khutbah Aidilfitri dibacakan oleh Penolong Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zhari manakala solat diimamkan oleh Imam Damam Madinah, Syeikh Ahmad Hamd Al-Sa’id Ali’ Abd Al-Qadir.
Naib Canselor turut mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin mewakili Pengerusi dan ahli-ahli Lembaga Gabenor, ahli-ahli Senat dan Pengurusan Tertinggi USM. Beliau kemudiannya beramah mesra dengan para jemaah sebaik sahaja selesai khutbah Hari Raya dan menyampaikan duit raya kepada anak-anak yang hadir.
Turut menunaikan solat sunat Aidilfitri di Mesjid Al-Malik Khalid ialah Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Ombudsman Profesor Dato' Dr. Md. Salleh Yaapar dan Pengarah Pusat Islam Profesor Madya Haji Nasirun Salleh. - Teks & Foto: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1127