PENGALAMAN PERANTAU IRAN KE MALAYSIA
PULAU PINANG, 5 Ogos – Bukan senang untuk berjauhan dan meninggalkan keluarga bagi menuntut ilmu di perantauan di usia muda. Kebiasaannya, paling lama bagi mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan juga PhD adalah dalam masa kurang 10 tahun. Namun bagi Hamoon Khelghat-Doost atau lebih kenali sebagai Hamoon, tempoh 13 tahun merantau dan tinggal di Pulau Pinang, Malaysia adalah pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan.
Hamoon, 33 mula menjejak kaki ke Pulau Pinang pada Oktober 2001 dan mendaftar diri untuk Intensive Malay Language Course di Universiti Sains Malaysia (USM) dan diikuti dengan Ijazah Sarjana Muda English Language and Literature Studies di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan pada tahun 2003.
Beliau yang berasal dari Tehran, Iran ditawar melanjutkan pengajian di peringat PhD dalam bidang Sains Politik di National University of Singapore (NUS), Singapura dengan biasiswa penuh NUS dan akan mendaftarkan diri pada hari ini di sana.
“Saya berasa sangat teruja dan bersyukur dengan peluang yang diberikan oleh USM, bukan sahaja peluang untuk melanjutkan pelajaran namun diberi juga kesempatan untuk berbakti dan bekerja di USM,” kata beliau yang pernah bekerja sebagai Pegawai Penyelidik di Pusat Kajian Kelestarian Global dan di Bahagian Korporat yang kini dikenali sebagai Bahagian Pembangunan Institusi (BPI).
“Hamoon adalah seorang yang sangat dedikasi dalam menjalankan tugas dan tidak mengira masa. Beliau boleh dihubungi pada jam 2.00 pagi untuk tugasan-tugasan penting,” imbas Moganeswary Muthusamy rakan sekerja di BPI dahulu yang kini bertugas di Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP) sebagai Penolong Pendaftar Kanan.
Apabila ditanya mengenai perkara yang akan dirindui mengenai Pulau Pinang setelah berada di Singapura kelak beliau berkata budi bahasa dan hospitaliti warga Pulau Pinang amnya dan USM khasnya akan dikenang sampai bila-bila. Beliau juga sangat berterima kasih kepada Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman yang banyak membantu dan memberikan nasihat ketika beliau menjadi Timbalan Naib Canselor BHEPP.
Hamoon yang juga graduan Sarjana Komunikasi di USM berkata sistem pengajian di USM yang menggalakkan kepelbagaian subjek dan pemilihan major dan minor dapat membantu pelajar memperluaskan bidang pengajian. Seperti beliau, bidang pengajian di peringkat sarjana muda, sarjana sehinggalah di peringkat Ph.D adalah berbeza.
Semasa di kampus, Hamoon adalah seorang yang sangat aktif dalam bidang ko-kurikulum dan terpilih untuk Sustainable Living with Environment Risk Leadership Program di Yokohama National University, Jepun dan Asian Regional Centre of Expertise Youth Leaders on Education for Sustainable Development Program di Sendai, Jepun. Di samping itu, beliau juga dipilih untuk membentangkan kertas kerja di dalam bidang kelestarian di dalam dan luar Negara termasuk di Brazil.
Mengakhiri perbualan, Hamoon berkata setelah tamat pengajian di NUS, beliau berhasrat untuk terus berbakti di Malaysia berbanding Iran. Ini adalah kerana beliau merasa Malaysia adalah rumah pertama beliau. - Teks: Nor Rafizah Md Zain/ Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1324