DUA AKADEMIA USM TERIMA ANUGERAH TOKOH MAAL HIJRAH, PENDIDIKAN PEMENANG 1444H/2022M
GEORGETOWN, 30 Julai 2022 – Bersempena dengan sambutan Awal Muharram (Maal Hijrah) 1444H/2022M, Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) telah menganjurkan Majlis Hari Terbuka Rumah Persatuan pada hari ini, bertempat di Dewan Besar Bangunan PEMENANG, Pulau Pinang.
PEMENANG telah menyampaikan anugerah kepada 2 akademia USM, iaitu Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM dan Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, mantan Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), yang mana kedua-duanya telah dianugerahkan sebagai Tokoh Melayu Tempatan dalam bidang Pendidikan.
Presiden merangkap pengelola PEMENANG, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Yussof Latiff dalam ucapannya berkata, bersempena dengan sambutan Awal Muharram, PEMENANG telah memilih beberapa orang untuk dianugerahkan sebagai Tokoh bagi menghargai usaha dan sumbangan berbentuk tenaga, masa dan wang ringgit mereka dalam pelbagai bidang untuk faedah bangsa, agama dan kebajikan masyarakat, khususnya masyarakat Melayu.
“Bagi pihak ahli-ahli jawatankuasa PEMENANG, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas serta mengiringi doa semoga mereka diberi rahmat, kebahagiaan serta kesejahteraan dan saya berharap pengiktirafan anugerah ini akan memberi kenangan dan mendorongkan lagi jasa perkhidmatan mereka kepada bangsa, agama dan tanah air,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rahman sebagai wakil kepada kesemua 10 penerima Tokoh pada petang itu, dengan penuh kegembiraan merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kerana kerja yang dihasilkan telah dapat dimanfaatkan oleh masyarakat dan rakan-rakan di Pulau Pinang serta mendapat penghargaan amat besar apatah lagi daripada PEMENANG sendiri.
“Sebagai anak jati Pulau Pinang dan juga dalam kalangan kami sekalian, PEMENANG merupakan satu pertubuhan yang amat disegani yang aktif dalam pelbagai inisiatif memperkasakan usaha membela nasib bangsa Melayu, yang mana perkara ini amat jelas dilihat melalui kategori anugerah Tokoh yang telah disampaikan iaitu Pendidikan, Keusahawanan, Agama, Kemasyarakatan dan Sukan,” kata Abdul Rahman.
Tambah beliau lagi, melalui semua kategori yang dikenal pasti ini, ia pastinya akan terus meningkatkan martabat kaum Melayu Pulau Pinang ke arah yang lebih tinggi dan dimuliakan, dan In shaa Allah, semua yang terlibat dalam bidang masing-masing akan terus bergerak seiring dengan matlamat PEMENANG yang begitu prihatin terhadap masyarakat Melayu di Pulau Pinang.
“In shaa Allah kami akan terus bekerja keras dan terus menabur bakti melalui aktiviti PEMENANG,” tambahnya lagi.
Pihak universiti dan seluruh warga kampus USM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah buat kedua-dua akademia USM tersebut.
Hadir bersama di majlis itu adalah Naib-naib Presiden PEMENANG dan ahli-ahli jawatankuasa PEMENANG.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 658