JALANKAN TUGAS DENGAN LEBIH DINAMIK DAN BERMOTIVASI
PULAU PINANG, 3 Ogos 2013 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman meluangkan masa berbuka puasa dan bersolat berjemaah Maghrib dengan kira-kira 50 staf Jabatan Keselamatan dan Pejabat Koordinasi Situasi ‘USM Respond Team’ (USMaRT) di sini semalam.
Dalam ucapan ringkasnya, Naib Canselor menasihati staf Jabatan Keselamatan untuk terus menyediakan kawalan keselamatan yang boleh menjamin keseluruhan keselamatan dan keamanan di universiti di samping menyeru semua anggota keselamatan dari semua peringkat bersama-sama memikul tanggungjawab dengan bertugas dengan lebih cekap, amanah, berintegriti, berdisiplin dan penuh dedikasi.
“Dalam pelaksanaan tugas harian, kita perlu lebih peka terhadap perkara-perkara yang berlaku di dalam kampus dan sekitarnya serta lebih prihatin dengan perubahan-perubahan yang berlaku di sekeliling kita.
“Kita perlu mengubah sikap dan cara kita bekerja, menjadi lebih dinamik dan bermotivasi dalam segala gerak kerja kita, serta memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran tinggi dalam profesion kita sebagai anggota keselamatan universiti supaya kita sentiasa dihormati,” ujar Naib Canselor.
Seperti juga beberapa jabatan lain di universiti yang telah dan sedang melalui proses transformasi bukan dari segi struktur tetapi lebih kepada fungsi, beliau juga berharap kemampuan dan kredibiliti anggota jabatan keselamatan tidak akan diragui sebaliknya diyakini oleh warga kampus dan luar kampus demi membentuk imej positif jabatan dan menjaga nama baik universiti.
Naib Canselor turut menyatakan rasa puas hatinya dengan transformasi yang sedang berlaku dan merakamkan setinggi penghargaan atas sokongan, sumbangan dan khidmat bakti semua peringkat staf Jabatan Keselamatan kepada Universiti selama ini.
Sementara itu, Timbalan Pendaftar Jabatan Keselamatan Haji Mhd Ramli Mehat mengingatkan stafnya agar tidak cuai atau lalai dalam menjalankan kerja mereka kerana kecuaian boleh membawa kepada perkara yang tidak diingini seperti kecurian, kerosakan atau kehilangan harta benda dan pencerobohan masuk ke kawasan universiti.
“Saya juga berharap mereka akan sentiasa berwaspada, dan dapat bekerja bersama-sama dengan ahli-ahli sukarela pasukan USMaRT yang terdiri daripada staf universiti yang baru ditubuhkan untuk membantu dalam pemantauan keselamatan dan kesejahteraan warga kampus khususnya selepas waktu pejabat,” kata Haji Mhd Ramli Mehat.
Beliau turut mengingatkan agar pastikan kawalan keselamatan dalam pejabat masing-masing adalah mematuhi aspek keselamatan yang telah ditetapkan oleh universiti, misalnya semua suis lampu, otomasi pejabat, penghawa dingin dan peralatan elektrik ditutup dan juga pintu serta tingkap di pejabat dikunci semasa cuti raya yang menjelang tiba.
Majlis berbuka puasa tersebut dianjurkan bersama oleh Jabatan Keselamatan dan USMaRT bertujuan untuk merapatkan lagi silaturrahim antara staf dan juga staf dengan pengurusan atasan universiti seperti yang dapat dilihat dari perbualan mesra sesama mereka sambil menikmati juadah berbuka puasa.
Hadir sama ialah ahli Lembaga Gabenor Universiti Profesor Datuk Dr. Omar Shawkataly, dan beberapa pegawai utama universiti. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1301