USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HARGAI KEMERDEKAAN NEGARA DAN HATI-HATI DI JALAN RAYA

usmhimpin1

PULAU PINANG, 5 Ogos 2013 - Warga Universiti Sains Malaysia (USM) diminta untuk menghargai nikmat kemerdekaan, kedaulatan dan kesejahteraan yang dinikmati selama ini dengan menzahirkannya melalui perubahan cara kerja yang dapat menyumbang kepada kecemerlangan institusi.

"Sama seperti usaha kita untuk sama-sama mempertahankan kedaulatan negara, kita juga seharusnya berusaha dengan sebaik mungkin mengubah cara kerja yang dapat menyumbang kepada kelangsungan dan kecemerlangan universiti kita," kata Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Omar Osman.

Berucap dalam Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Canselori di Bangunan Canselori hari ini, Naib Canselor mengingatkan terhadap pentingnya usaha dilakukan secara berterusan untuk meningkatkan kecemerlangan USM.

"Misalnya apabila kita cintai negara, kita perlu memahami Rukun Negara satu persatu dari yang pertama Kepercayaan kepada Tuhan sehinggalah prinsip yang kelima, Kesopanan dan Kesusilaan," kata Omar.

usmupin2

Tambahnya lagi, apabila melihat saban hari Imam dari Saudi yang menjadi tetamu universiti di Mesjid Al-Malik Khalid mendoakan kesejahteraan Malaysia, apatah lagi kita yang sewajarnya lebih lagi mendoakan kesejahteraan rakyat dan negara.

Naib Canselor turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya dari beliau dan keluarga kepada seluruh masyarakat kampus dan meminta agar semua berhati-hati memandu ketika musim perayaan ini.

"Kita lihat ramai yang menjadi korban jalan raya, eloklah berhati-hati memandu agar sentiasa selamat dalam perjalanan dan apa jua yang dilakukan," pinta Naib Canselor.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Pendaftar. Naib Canselor dan Timbalan-timbalan Naib Canselor kemudiannya mengedarkan sampul hari raya jenama USM yang dikeluarkan oleh Pejabat Komunikasi Strategik. - Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1119

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024