USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MEREALISASIKAN HASRAT MEMBANTU KELUARGA FATIMAH

 

usmsusah1

PULAU PINANG, 5 Ogos 2013 - Ketibaan kami ke rumah satu bilik dan berkongsi bilik air dan dapur dengan penyewa lain di rumah yang sama tidak disambut sesiapa kecuali Zaki, 16 tahun yang terlantar di atas katil besi dengan tilam yang nampak baharu.  

Anak muda yang terbaring sambil kedua-dua kakinya mendakap bantal peluk kusam dan sesekali terdengar desah nafasnya berbunyi yang tampak sekali ketidakupayaannya. 

Terdapat juga seorang remaja perempuan di situ yang memperkenalkan dirinya sebagai adik bongsu kepada ibu Zaki yang berusia 17 tahun dan katanya mempunyai masalah buah pinggang yang juga sudah tidak bersekolah. 

“Itu tilam baharu yang mungkin disumbangkan,” bisik Mohd Danial Shahri yang diminta membuat penelitian awal tentang keluarga ini sambil menunjukkan tilam lama yang kusam terletak di luar rumah. 

Ibunya Fatimah sampai kira-kira lima minit selepas ketibaan kami bersama anak kecil yang comel yang berusia sekitar 9 tahun, Faimah anak bongsu yang katanya telah agak lama tidak pergi di sekolah yang agak jauh dari situ.  Mereka baharu sahaja sampai dari Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan. 

Anak kecil ini tidak datang ke sekolah apabila abangnya kemalangan jalan raya yang menyebabkan dia terbaring di katil sejak empat bulan lalu. 

“Rumah ini kami sewa RM250.00 sebulan sejak saya keluar dari rumah emak ayah saya tinggal setelah saya diceraikan dan sering diganggu lalu bersembunyi di sini,” kata Fatimah, memulakan ceritanya kepada Datin Noraizan Jamaludin, isteri Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM). 

Fatimah bercerita panjang tentang nasibnya yang tidak sesuai untuk dikongsikan kepada umum. Anaknya, Zaki diminta berhenti sekolah pada usia 14 tahun untuk bekerja bagi menyara keluarga, walau pun dia pelajar yang aktif dan amat minat dengan sukan. Setelah terlibat kemalangan jalan raya, dia memerlukan paling tidak RM500.00 sebulan untuk perubatan dan membawanya ke hospital.

usmsusah2

Kata Fatimah, ingatan Zaki tenggelam timbul, tetapi dalam banyak keadaan dia tidak ingat apa-apa malah ibunya pun dipanggil kakak, malah dia sering meminta makan walau pun baharu disuapkan.

Zaki bergantung sepenuhnya kepada jagaan ibunya yang tidak bekerja dan hanya boleh berbaring dengan memakai lampin pakai buang sepanjang masa. 

“Syukurlah, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Urus Zakat membantu dan juga melalui pertolongan sebuah pertubuhan sukarela,” kata Fatimah. 

“Sumbangan ini datangnya dari seluruh warga USM yang sentiasa prihatin dengan nasib yang menimpa orang lain,” kata Noraizan ketika menyampaikan sumbangan khas Fatimah. 

USM membuat kutipan dalam kalangan seluruh warganya sejak seminggu lalu untuk membantu dua buah keluarga di negeri Pulau Pinang. Satu lagi keluarga ialah di Bukit Jambul, iaitu seorang ibu yang berasal dari Indonesia yang sedang menderita kanser payu dara yang kritikal dengan empat orang anak yang masih bersekolah, manakala suaminya seorang mualaf bekerja di Kuala Lumpur dengan pendapatan kecil untuk menyara keluarga. 

Kisah Fatimah disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan. Manakala satu keluarga lagi di Bukit Jambul Pulau Pinang dimaklumkan oleh pelajar dan warga USM yang prihatin dengan nasib keluarga tersebut. 

“Ini bukanlah pertama kali USM membantu, namun kali ini sumbangannya agak besar dan berupaya untuk membantu Zaki menjalani rawatan hospital dan rawatan susulan,” kata Noraizan lagi. 

Datin Noraizan turut menyamaikan sumbangan-sumbangan lain berupa barang keperluan harian dan pakaian.

“Inilah sumbangan ikhlas warga USM kepada keluarga ini dan kepada mereka yang memerlukannya sebagai tanda kesyukuran atas apa yang diberikan Tuhan selama ini,” kata Noraizan. 

usmsusah3

Kami meninggalkan keluarga ini dalam dengusan suara Zaki yang meminta makanan, dihantar oleh Fatimah di pintu dengan wajah yang tabah dan anak kecilnya yang belum mengerti makna kesedihan dan kepayahan dengan bisikan Fatimah kepada Datin Noraizan, “tolong sampaikan salam dan terima kasih kami kepada orang-orang USM yang membantu dan saya amat terharu dengan bantuan ini. Saya berdoa agar Allah SWT memberikan keberkatan kepada semua.’ 

Walau pun tempat tinggal Fatimah nampak kemas, tidak dapat dinafikan, ia tetap mengingatkan kami kepada filem lama  P. Ramlee, Ibu Mertuaku tempat Kassim Selamat tinggal yang disewakan oleh Pak Ali lakonan M. Zain.  

Kami termasuk juga Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Wanita (KANITA) Profesor Madya Dr. Noraida Endut, Bendahari USM, Puan Salmiah Che’ Puteh, Ketua Penolong Pendaftar (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat) Azmi Hassan dan beberapa orang lain meninggalkan kediaman Fatimah dengan fikiran yang penuh simpati, juga memikirkan masa hadapan anak-anak Fatimah yang sepatutnya berada di bangku sekolah dan saat ini sibuk membuat persiapan Hari Raya yang akan tiba. 

Paling tidak kami bersyukur atas keprihatinan seluruh warga USM yang memungkinkan usaha membantu keluarga ini dan akan berusaha secara berterusan untuk mencari jalan terus menolong, paling tidak memastikan anak kecil itu dapat terus belajar dan membina masa hadapannya yang lebih bermakna. 

Terima kasih seluruh warga USM. Kami junjung amanah berat ini.

CATATAN: Mohamad Abdullah

FOTO: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1136

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024