USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NAIB CANSELOR AJAK WARGA USM BERMUHASABAH DIRI DENGAN BERSIKAP ADIL SEMPENA MAAL HIJRAH 1444

USM PULAU PINANG, 29 Julai 2022 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan mengajak seluruh warga USM bermuhasabah diri sempena ketibaan Maal Hijrah 1444.

ED0711DB 8893 47D7 92A8 B4BD275BA256

Seruan ini dibuat ketika menyampaikan Khutbah Jumaat di Masjid Al-Malik Khalid hari ini yang bertajuk Keindahan Keadilan Islam.

"Dalam kita menyambut tahun baharu Islam, marilah kita bersama-sama untuk bermuhasabah dan berfikir serta mencetuskan perubahan kepada diri dan keluarga.

"Adakah kita telah menyempurnakan keadilan kepada diri dan insan lain?," kata Naib Canselor.

Misalnya berusaha memenuhi keperluan tambahan simiskin melalui instrumen zakat dan waqf.

Soal beliau, adakah kita memikirkan tentang dosa dan ego kita yang sentiasa bertambah?

Adakah kita bersungguh-sungguh dan berlumba-lumba memberi kebajikan sesama manusia dan insan seperti mana saranan al-Quran "Fastabiqul Khairat"? dan adakah kita menegakkan keadilan kepada insan, institusi dan negara?

Menurut beliau, seseorang itu bersikap adil kepada Pencipta dengan menyembah-Nya dan taat segala perintah Allah dan adil kepada Rasulullah S.A.W. ialah dengan mengikutinya sebagai Rasul Allah di muka bumi.

Adil kepada diri pula ialah dengan seseorang menghindari kesilapan dosa dan ego, adil kepada jasad ialah dengan mengekalkan kesihatan dan memeliharanya dari penyakit dan kecederaan serta adil kepada jiwa ialah memeliharanya daripada dosa untuk kekal suci dan mulia.

Tambah beliau, seseorang itu bersikap adil kepada kedua ibu ayah dengan membalas segala jasa mereka serta berlaku adil kepada keluarga dengan bersama-sama membina keluarga bahagia melalui pembinaan jati diri keluarga, memberi ilham dan motivasi serta membimbing kepada keputusan yang benar dalam kehidupan.

"Adil kepada jiran adalah bersama berganding bahu dalam menempuh ujian, adil kepada pesakit membimbing dan menguatkan semangat untuk kembali sihat manakala adil kepada simiskin ialah dengan memenuhi segala keperluannya.

"Adil kepada negara dan USM ialah mencintai, menjiwai dan berkorban untuk institusi dan negara, adil kepada kemanusiaan ialah bersama-sama membina keinsanan malah adil kepada pengetahuan ialah dengan menyebarkan kebaikan tanpa batasan," kata Faisal Rafiq.

Beliau mengajak semua staf USM, para akademia, para pentadbir, para staf sokongan bermuhasabah bertanya diri adakah telah menyempurnakan keadilan kepada pelanggan iaitu pelajar dan Jemaah?

"Kepada semua warga USM sekali lagi, seruan mimbar ini ialah agar tegakkanlah keadilan dalam jiwa agar kita semua terselamat di dunia dan akhirat," kata Naib Canselor.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 317

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024