USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HEPA USM USAHA DIDIK WARGA KAMPUS URUS STRES DAN AMAL GAYA HIDUP SIHAT

USM PULAU PINANG, 28 Julai 2022 – Unit Kaunseling Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) Universiti Sains Malaysia (USM) akan terus berusaha mendidik warga kampus terutamanya pelajar untuk mengamal gaya hidup sihat melalui pengurusan stres dan mewujudkan generasi bebas amalan rokok dan vape.

11B2DC92 019F 458F A8AB 1F8AE4A01313

Pengurusan stres yang tidak tepat, tabiat merokok dan penyalahgunaan dadah adalah perkara yang membimbangkan di Malaysia. Rokok dan dadah mendedahkan manusia kepada pelbagai risiko penyakit dan meragut nyawa. Oleh itu usaha berterusan perlu dibuat untuk menanganinya.

Hal ini dinyatakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlinda Azman ketika merasmikan webinar Pengurusan Stres dengan Gaya Hidup Sihat dan Kempen GEG - Generasi Bebas Amalan Rokok dan Vape anjuran Unit Kaunseling BHEPA dan Kelab PEMADAM melalui tajaan Johnson & Johnson.

Webinar ini disertai oleh hampir 800 orang terutamanya pelajar dan warga kampus.

Penceramah yang diundang ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Profesor Dr. Huzili Hussin.

"USM menyokong dan akan terus melakukan apa sahaja yang boleh dapat menghadapi masalah ini kerana merokok merupakan masalah utama bukan sahaja di Malaysia, malahan ia merupakan masalah yang dibebani secara global.," kata Azlinda.

Tambah beliau, merokok menyebabkan komplikasi penyakit kronik atau penyakit tidak berjangkit terutama penyakit jantung koronari, penyakit kanser dan penyakit paru-paru kronik serta merupakan penyumbang utama kepada kematian di dunia dengan 6 juta kematian setiap tahun dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Di Malaysia, hampir 20,000 orang mati setiap tahun (Tobacco Atlas, 2015) akibat komplikasi penggunaan tembakau.

Generasi Penamat atau Generational End Game merupakan satu konsep yang telah diperkenalkan oleh pakar-pakar di peringkat antarabangsa bagi memperkukuhkan kawalan tembakau sedia ada yang telah dilaksanakan di bawah kerangka Perjanjian WHO FCTC atau Framework Convention on Tobacco Control.

Kerangka perjanjian WHO FCTC yang turut dianggotai Malaysia ini dikuatkuasakan sejak tahun 2005 lagi.

"Penganjuran webinar ini bersifat serampang dua mata ini bertujuan memantapkan kesedaran warga kampus mengenai kaedah terbaik pengurusan stres dan kaitannya dengan “Generational End-Game”, yang bakal menamatkan generasi perokok dan penyalahgunaan dadah," tegas Azlinda.

Program ini antara lain juga adalah merupakan antara siri-siri program perkembangan dan pendidikan psikologi kaunseling yang mensasarkan para warga pelajar USM sepanjang tahun 2022 bertujuan untuk mengenalpasti pengamalan sebenar gaya hidup sihat untuk menguruskan stres di sebalik persepsi negatif bahawa gejala merokok dan vape mampu membendung stres dalam kalangan pelajar terutama yang kini berdepan dengan suasana dan normal baharu.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 444

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024