IKMAR-SUKSIS BEKERJASAMA SANTUNI GELANDANGAN PULAU PINANG
GEORGETOWN, PULAU PINANG, 18 Julai 2022 – Selaras dengan elemen dan atribut HEBAT yang dijiwai para siswa siswi, Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Persatuan Kor Sukarelawan Polis Siswa/i (SUKSIS) USM telah mengadakan satu program berimpak tinggi yang berteraskan aspek kesukarelawanan iaitu Tautan Kasih: Mahasiswa/i Santuni Gelandangan, di sini malam ini.
Program yang berteraskan baktisiswa ini bertujuan untuk membantu golongan gelandangan sekitar kawasan Pulau Pinang, yang mana pek makanan dan juga kit kebersihan diri telah diedarkan kepada lebih 150 orang gelandangan.
Antara impak penting program ini ialah mahasiswa telah dapat memenuhi elemen 'Balanced' iaitu atribut nilai, sikap dan kemanusiaan sebagaimana termaktub dalam agenda HEBAT USM, selain menerapkan budaya syukur dan saling bantu-membantu dalam kalangan mahasiswa/i.
Turut serta dalam program, penasihat utama IKMAR USM, Profesor Madya Dr. Mohamad Nasir Mohamad Ibrahim bersama penasihat SUKSIS, ASP/KS Dr. Ahmad Zulman Mohd Zain, yang juga Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) USM.
Mohamad Nasir dalam ucapan aluannya berkata, sebagai mahasiswa, mereka perlu bersyukur kerana mempunyai apa yang telah dikurniakan, namun terdapat insan yang kurang atau tidak bernasib baik.
“Adalah penting untuk kita memastikan pembentukan perwatakan diri dan sikap untuk sentiasa membantu orang lain,” kata Mohamad Nasir.
Tambahnya lagi, cara ini dapat memberi manfaat kepada orang lain serta akan berasa lebih bersyukur dan bersedia untuk merasai kesusahan masyarakat.
Sementara itu, Ahmad Zulman berkata program seperti ini dapat memberikan pengalaman berharga kepada para pelajar untuk membudayakan nilai perikemanusiaan dan menyemai sifat simpati.
Seramai 14 pelajar IKMAR dan 8 pelajar SUKSIS USM terlibat dalam program ini.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 464