USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

B'IIKHLS: PAMERAN RINTIS 2022 GUNA PENGHASILAN KARYA INTEPRETASI

B30554BF 0CC6 4833 9BC6 40F30E6DB133

USM PULAU PINANG, 15 Julai 2022 – Bahagian Seni Halus, Pusat Pengajian Seni (PPS) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) USM baru-baru ini telah mengadakan Majlis Perasmian Pameran B’IIKHLS 2022 dan Pembukaan Galeri Research & Innovation Towards Integration & Sustainability (RINTIS) secara dalam talian melalui pautan Google Meet.

Seramai 31 orang pelajar tahun akhir dari kursus Seni Halus telah turut serta dalam Pameran B’IIKHLS, yang mana pelajar yang terlibat mempamerkan karya yang dihasilkan dengan penuh dedikasi, komitmen, tanggungjawab dan keikhlasan yang dikuratorkan oleh Mohammad Ajib Rosman dan Nur Aina Wahida Mohd Fisol, kedua-duanya adalah sebahagian daripada pelajar tahun akhir tersebut.

Antara jenis-jenis karya yang dipamerkan terdiri daripada kepelbagaian bentuk media seperti catan, cetakan digital, seni video, seni bunyi, pemetaan video, instalasi media, arca dan lain-lain.

Pameran yang berkonsepkan B’IIKHLS membawa maksud ‘essense of oneself’ dan menyampaikan tanggapan melakukan sesuatu dengan kejujuran, rasa sayang tanpa batasan dan dengan hati yang suci.

Selain itu, ia turut membawa maksud ‘wholeheartedly’ atau sepenuh hati yang merujuk kepada sebuah karya yang berbentuk visual, dihasilkan dengan penuh tanggungjawab, komitmen dan keikhlasan.

Majlis dirasmikan oleh Mantan Pengarah Balai Seni Negara, merangkap Mantan Dekan PPS, USM dan Pengasas Sari Chempaka Art Village, Profesor Dato’ Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa.

Dalam ucapan perasmiannya beliau berkata, pendekatan pameran kali ini telah menarik minatnya untuk mengetahui lebih lanjut dan melihat sendiri karya yang dihasilkan oleh pelajar.

“Penghasilan karya pada kali ini dilihat amat menarik kerana ianya memerlukan pelajar untuk membuat pembacaan dan seterusnya menterjemah konteks teks yang mereka fahami kepada suatu bentuk visual,” katanya.

Mohamed Najib seterusnya mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang terlibat kerana telah berjaya menterjemah teks kepada visual dan memahami konsep merealisasi melalui projek merancang dan menjayakan Pameran B’IIKHLS.

Menurut Dekan PPS, Profesor Madya Dr. Sarena Abdullah pula dalam ucapannya, pameran yang diadakan ini adalah untuk mempamerkan hasil karya pelajar Tahun Akhir Seni Halus kepada umum, sekaligus menjadikan ia sebagai satu platform untuk memperkenalkan mereka kepada komuniti penggiat seni dan juga komuniti luar yang lain.

Sementara itu, Pengarah Projek B’IIKHLS, Mohammad Ajib berkata, pameran kali ini agak mencabar kerana pameran ini berbeza berbanding dengan pameran yang lepas yang mana idea, konsep dan konteks penghasilan karya adalah intepretasi dan analisa daripada dua buah bahan bacaan, iaitu Novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur oleh Sasterawan Negara, Keris Mas dan Sungai Mekong oleh seniman, Latiff Mohidin.

Pameran dibuka secara rasmi pada 15 Julai 2022 dan akan berlangsung di MGTF selama 3 bulan, iaitu sehingga 15 Oktober 2022 pada setiap Isnin hingga Sabtu bermula jam 10 pagi hingga 4 petang.

92403422 1A11 4FBD 830B 3313038F1AB9

RINTIS merupakan sebuah program pameran tahunan projek penyelidikan tahun akhir oleh pelajar dari enam jabatan di PPS USM, yang mana program ini mula ditubuhkan oleh Pengarah MGTF, Profesor Madya Hasnul Jamal Saidon pada tahun 2004 yang berfungsi sebagai sebuah platform buat pelajar tahun akhir untuk menyertai industri masing-masing.

Fine Art Degree Show merupakan sebahagian program RINTIS dan tradisi yang diamalkan untuk meraikan pelajar tahun akhir, yang mana program ini telah menyatukan seramai 31 orang pelajar tahun akhir dari kursus Seni Halus untuk mempamerkan hasil karya yang telah dihasilkan dengan penuh dedikasi, komitmen, tanggungjawab dan keikhlasan.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi

  • Created on .
  • Hits: 453

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024