USM ANJUR PERSIDANGAN KEBANGSAAN PERTAMA PEMINDAHAN ILMU
PULAU PINANG, 1 Ogos - Universiti Sains Malaysia (USM) akan menganjurkan Persidangan Kebangsaan Pertama tentang Pemindahan Ilmu pada 21 hingga 23 Ogos ini di Bangi Selangor.
Menurut Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Omar Osman, kira-kira 350 orang peserta dijangka hadir dari pelbagai institusi pengajian tinggi dan pihak swasta dalam persidangan yang akan dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi II Dato' Seri Idris Jusoh pada hari Khamis, 22 Ogos 2013, mulai 9.30 pagi.
Tambahnya lagi, antara yang dijangka membentangkan kertas kerja ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Madinah Mohamad, Pengarah Seksyen Pembangunan Modal Insan Jabatan Perdana Menteri Dr. Mohd. Ghazali Abas dan Ketua Pegawai Eksekutif Northern Corridor Implementation Authority (NCIA) Dato' Redza Rafiq Abdul Razak.
Program Pemindahan Ilmu (KTP) merupakan satu platform untuk menggalakkan kerjasama akademia dan industri/komuniti melalui pemindahan ilmu yang dijana di peringkat universiti untuk dikongsi dan diperluas dalam kalangan masyarakat.
Pada masa ini sebanyak 28 projek industri dan 16 projek komuniti yang meliputi pendidikan, ekonomi, kelestarian dan teknologi hijau, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan industri kampung dilaksanakan di bawah program ini.
Naib Canselor hadir mengadakan perbincangan dan mendengar taklimat terkini tentang pencapaian KTP di pejabat KTP yang terletak di Bangunan Eureka di sini. Naib Canselor juga adalah pengerusi KTP Kementerian Pendidikan. Turut hadir ialah Setiausaha KTP Profesor Haslan Abu Hassan dan Pengerusi Pemantauan KTP, Dr. Musa Ali. Teks dan foto : Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1155