USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM HANTAR SUKARELAWAN BANTU MANGSA BANJIR BALING, KEDAH

USM PULAU PINANG, 5 Julai 2022 – Bahagian Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM sedang menggembleng sukarelawan pelajar untuk membantu mangsa banjir di Baling Kedah.

"Kita sedang mengumpulkan sukarelawan dan membuat kajian terhadap mereka yang terjejas akibat banjir kilat tersebut terutamanya dalam kalangan pelajar dan warga universiti,” jelas Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman.

Menurut beliau, sukarelawan pelajar juga sedang membuat kutipan untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir.

Kutipan ini dilakukan oleh Sekretariat Sukarelawan USM bersama Kumpulan Anak-Anak Kedah Universiti Sains Malaysia (KAKUSMA).

Mereka yang ingin menyumbang boleh menyalurkan melalui akaun CIMB BANK USM 98986100700035.

TINJAUAN AWAL PPBNC USM LOKASI BANJIR BALING

Dalam pada itu, wakil USM dari Pusat Pengurusan Bencana Nerve Centre (PPBNC), Tuan Mohd Salman Tuan Mohd Jaffar tiba seawal pagi bagi mendapatkan lokaliti sebenar kawasan dan keberadaan warga USM yang terkesan di samping mendapatkan maklumat awal sebelum operasi.

Berikut ialah laporannya:

Negara dikejutkan dengan musibah banjir melanda Baling, Kedah, yang mana lebih 200 keluarga terkesan. USM sentiasa cakna dan bersedia membantu terutamanya staf dan pelajar serta komuniti setempat.

Justeru itu satu tinjauan dan sumbangan awal diberi berbentuk kit kendiri, pelitup muka dan sarung tangan sebagai langkah pencegahan awal jangkitan semasa menghadapi bencana sementara menunggu Pasukan Sukarelawan USM menyusul memberikan bantuan pembersihan dan kesihatan.

Banjir ini turut dikaitkan dengan limpahan air yang mendadak sehingga empangan pecah, menurut penduduk di Kg Sadek.

Antara kawasan terjejas ialah Taman Mesra, Kg Sadek dan Kg Iboi.

Buat masa ini, Kg Iboi antara kawasan paling teruk terjejas sehingga menyebabkan kematian serta jalan ditutup dan dikawal pihak polis untuk mengelak kemasukan orang luar.

Suntingan: Tan Ewe Hoe 

  • Created on .
  • Hits: 290

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024