FFAM2022 MELABUHKAN TIRAI, USM MUNCUL JUARA SULUNG KESELURUHAN
USM PULAU PINANG, 2 Julai 2022 – Festival Filem Anak Muda 2022 (FFAM) yang dianjurkan oleh Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM) telah melabuhkan tirainya baru-baru ini, dengan berlangsungnya Malam Anugerah FFAM 2022 buat julung kalinya di Auditorium Dewan Budaya, Kampus Induk USM bagi meraikan karya-karya filem pendek penyertaan yang telah dihasilkan.
Majlis dihoskan penyanyi dan pelakon terkenal negara, Arja Lee yang merupakan alumni USM, iaitu bekas pelajar Sarjana Muda Seni Persembahan.
Bertemakan konsep ‘Inspirasiku’, program yang bertujuan untuk mengasah bakat anak-anak muda ini mempunyai objektif untuk meningkatkan kemahiran menilai, memilih, membentuk dan menjana idea, konsep dan pemahaman yang konkrit berdasarkan tema untuk digarap dalam pembikinan filem, selaras dengan atribut Pemikiran Saintifik dalam elemen ‘Balanced’ agenda HEBAT USM.
Selain itu, ianya juga adalah untuk meningkatkan daya kreativiti dan pemikiran artistik para mahasiswa dan mahasiswi dalam bidang seni pembikinan filem, selaras dengan atribut apresiasi seni dalam elemen ‘Balanced’ agenda HEBAT USM sebagai teras utamanya.
Pasukan produksi daripada USM, Acahartstudio telah muncul sebagai Juara Keseluruhan program dan juga telah menyapu bersih kelima-lima kategori anugerah yang dipertandingkan iaitu, Anugerah Sinematografi Terbaik, Anugerah Suntingan Terbaik, Anugerah Skrip Terbaik, Anugerah Pengarah Terbaik dan Anugerah Pelakon Terbaik.
Filem pendek terbaik USM yang dinobatkan juara itu berjudul ‘Breathe’, mengisahkan tentang Marsha, seorang penghidap penyakit asma yang ingin melawan penyakitnya dengan menyertai pertandingan tinju.
Acara yang gilang-gemilang itu turut menyelitkan persembahan menarik daripada kumpulan pemuzik dari Dewan Budaya dan diserikan dengan alunan suara Andy Siti Nurhidayah Rahim sebagai vokalis utama, bersama artis staf Dewan Budaya yang lain.
Turut hadir sama menyerikan majlis adalah Pengarah Dewan Budaya USM, Ramnah Ramli; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi; Dekan Pusat Pengajian Komunikasi, Profesor Madya Dr. Bahiyah Omar; Ketua Juri FFAM 2022, Dato’ Jurey Latiff Mohd Rosli; Juri FFAM 2022, Indra Che Muda; Pengarah Jabatan Perniagaan Komunikasi Pengimejan (ICB) Canon Marketing Malaysia, Hunter Zhang; Pengarah FFAM 2022, Abdullah Nudin serta pegawai-pegawai universiti.
FFAM 2022 yang merupakan program sulung Dewan Budaya USM melalui Sekreteriat Protégé USM telah disertai para mahasiswa dan mahasiswi daripada 9 buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang mana sebanyak 18 penyertaan diterima untuk bertanding bagi merebut kejuaraan sulung ini.
Sekretariat Protégé USM merupakan sebuah pertubuhan pelajar yang bernaung di bawah Dewan Budaya USM dengan matlamat membangunkan bakat mahasiswa dan mahasiswi USM melalui penganjuran dan sokongan terhadap aktiviti-aktiviti berkaitan seni dan kebudayaan.
Protégé USM juga sentiasa dinamik dalam menganjurkan program yang dapat membangunkan pelajar dalam bidang pengurusan acara ke arah pembangunan bakat mahasiswa dan mahasiswi.
Program ini turut mendapat kerjasama penaja-penaja seperti Canon Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM dan CREATE@Georgetown.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/ Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 405