BULAN KELESTARIAN USM 2022 MELABUHKAN TIRAINYA, WARGA USM DISERU BUDAYAKAN AMALAN KELESTARIAN
USM PULAU PINANG, 30 Jun 2022 – Bulan Kelestarian Universiti Sains Malaysia (USM) 2022 yang berlangsung di kampus induk melabuhkan tirai hari ini, setelah sebulan disambut oleh warga kampus sejak 1 Jun lalu.
Beberapa program menarik telah dianjurkan sepanjang Bulan Kelestarian kali ini, antaranya ialah siri webinar Bulan Kelestarian dengan kerjasama pelbagai pihak, projek komuniti bersama anak-anak asnaf Pusat Jagaan Inapan Kasih Sayang Pulau Pinang dan 'Coastal Cleanup' hasil kerjasama bersama Kampus Sejahtera, Persatuan Sains Lautan Malaysia (MSMS), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan IJM Corporation Berhad yang turut menjadi penaja untuk program ini.
Objektif utama penganjuran Bulan Kelestarian USM 2022 adalah untuk meningkatkan kesedaran warga USM mengenai kelestarian, membudayakan amalan dan gaya hidup lestari dalam kalangan warga USM, mempelbagaikan aktiviti kelestarian dan mempraktikkan sikap tanggungjawab berkaitan kelestarian dalam kegiatan harian warga USM.
Para tetamu berpeluang menimba pengalaman berharga apabila majlis penutup ini diadakan di Eco Hub USM bagi menikmati dan menghargai keindahan alam semulajadi.
Tetamu yang hadir dibawa menyusuri Eco Trail sambil mendengar penerangan oleh Pegawai Sains Kanan, Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), Mohd Abdul Muin Md Akil, mengenai jenis flora yang ditanam di situ.
Selesai saja perjalanan yang mengambil masa kira-kira 30 minit, tetamu dibawa ke khemah yang telah tersedia untuk mendengar ucapan alu-aluan Pengarah CGSS USM, Profesor Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei.
Majlis seterusnya dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM, Profesor Dr. Md Roslan Hashim.
Beliau dalam ucapannya berharap agar lebih ramai lagi warga USM dapat menyertai program sebegini pada masa akan datang dan usaha melestarikan USM akan tetap diteruskan walaupun selepas tamat program.
"Pelbagai usaha dibuat selama ini dan dipantau secara berterusan untuk memastikan kelestarian menjadi budaya kerja warga kampus, dan pada masa yang sama Universiti juga menyediakan pelbagai prasarana dan dasar untuk menguruskan usaha ini," katanya.
Upacara penanaman Pokok Merawan Daun Bulat atau nama saintifiknya 'Hopea Latifolia' telah diadakan pada penghujung majlis sebagai usaha simbolik kepada Majlis Perasmian Penutupan Bulan Kelestarian USM 2022.
Teks: Nurhidayah Shahbuddin/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 438