PROGRAM UNDI 18 DAN MAPAN MEMBUKA MATA MAHASISWA DALAM MENENTUKAN MASA DEPAN NEGARA
USM PULAU PINANG, 4 Julai 2022 – Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah menganjurkan Program Simposium Undi 18 dan pelancaran Majlis Permuafakatan Anak Negeri (MAPAN), bagi mengetengahkan keperluan setiap generasi untuk terlibat dalam proses pilihanraya sebagai pengundi berdaftar dalam menentukan hala tuju atau masa depan negara.
Kedua-dua program tersebut telah berlangsung pada 28 Jun 2022 di Dewan Budaya USM dengan penglibatan seramai 500 orang pelajar yang hadir ke program tersebut.
Program Simposium Undi 18 merupakan program yang julung kalinya dilaksanakan oleh MAPAN, untuk memberikan pendedahan kepada mahasiwa dan mahasiswi berkenaan amalan demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia, hak mengundi dalam kalangan belia dan input-input berkenaan agenda pemerkasaan belia di Malaysia.
MAPAN pula adalah gabungan 13 persatuan anak negeri yang pertama di Malaysia, ditubuhkan untuk menyelaraskan fungsi dan menjalankan jalinan kerjasama yang baik dari setiap persatuan anak negeri supaya semua dapat berganding bahu dalam menjaga kebajikan anak negeri masing-masing.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Dr. Azlinda Azman telah merasmikan kedua-dua program tersebut dan beliau berharap agar kesemua 13 persatuan anak negeri dapat bekerjasama di bawah MAPAN dan mengukuhkan kebersamaan di bawah satu universiti dan satu negara.
Dalam ucapan perasmiannya, Azlinda berkata, sebagai insan yang matang, semua pelajar sememangnya wajar mendengar dengan baik berkenaan perbincangan yang dianggotai oleh panel-panel yang dijemput dan harapan beliau agar mahasiswa yang hadir akan menjadi bakal peneraju kepimpinan negara pada masa hadapan yang cakna terhadap setiap intipati yang terdapat dalam perbincangan itu.
“Saya dapati setiap persatuan anak negeri di USM ini bergerak secara aktif dari semasa ke semasa dan pelbagai aktiviti berinovatif dan berimpak tinggi telah dianjurkan sepanjang sidang ini.
“Konsep #Welead itu dipegang teguh oleh pimpinan persatuan anak negeri dan menyambut seruan universiti dalam melahirkan mahasiswa yang kreatif dan berkepimpinan,” tambah Azlinda, yang turut berkata beliau memasang harapan yang tinggi terhadap penubuhan MAPAN ini.
Dalam majlis yang sama, Azlinda menyampaikan watikah pelantikan kepada barisan Majlis Tertinggi Majlis Permuafakatan Anak Negeri (MAPAN) USM.
Majlis kemudian diteruskan dengan sesi forum Undi 18 yang menampilkan tiga ahli panel iaitu Profesor Dr. Sivamurugan Pandian, Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM; Nazru Hj. Ismail, Mantan Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA USM serta Mohamad Aqriel Shazwan Md Shahrudin, Pengerusi MAPAN merangkap Pengarah Projek Program, dan Mohamad Yusof Tashfin Musa sebagai moderator forum.
Sivamurugan yang juga merupakan seorang penganalisis politik berkata, tujuan diadakan Undi 18 adalah berkaitan dengan penurunan kepada had umur minima 18 tahun bagi kelayakan mengundi, bagi membolehkan rakyat untuk membela nasib negara Malaysia, yang mana kita bertanggungjawab dalam proses pembangunan negara bangsa, serta mengiktiraf dan menghormati bahawa wujudnya kematangan dalam kalangan mereka yang berumur 18 tahun ke atas.
“Negara Malaysia telah menjejaki perubahan jika dibandingkan dengan beberapa buah negara lain yang masih mengamalkan Undi 21 tahun ke atas. Akan tetapi, kita telah menyelusuri pembaharuan yang perlu kita lakukan yang boleh membawa ke arah mempertahankan kematangan dalam kalangan golongan yang berumur 18 tahun ke atas,” kata Sivamurugan.
Sementara itu, Nazru berpendapat bahawa kuasa mengundi berada di tangan masing-masing dan pesanannya kepada semua, sekiranya sudah bersedia, jadilah pengundi yang baik dan bijak.
Bagi Aqriel pula, beliau percaya pada satu masa nanti, rakyat akan berada pada landasan yang betul dan satu masa nanti Undi 18 bukan lagi satu retorik dan bukan lagi satu dasar yang sekadar dasar.
“Sebaliknya ia akan berjaya menjadi satu dasar yang menyentuh hati nurani, yang mana golongan belia akan mula cakna dan tiada lagi belia yang tidak tahu tentang hal kenegaraan,” katanya.
Turut hadir ke program adalah Pengarah Pusat Pembangunan Bakat (TDC) USM, Zulkifli Che Husin dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, CT Faizah Abdul Rahman.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 805