PRIHATIN: USM BERI SUMBANGAN KEPADA PESAKIT HPP
PULAU PINANG, 1 Ogos 2013 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan (PPDU) telah menyampaikan sumbangan kepada pesakit di wad Pediatrik, Onkologi dan juga Gynaecology di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini hari ini.
Sumbangan telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dato’ See Ching Mey bersama isteri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Datin Dr. Aishah Knight Abd. Shatar yang juga pensyarah di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju.
Selain sumbangan dari segi makanan dan duit raya, semua staf yang hadir turut menghiburkan para pesakit dengan nyanyian lagu-lagu seperti Belaian Jiwa dan Rasa Sayang yang diketuai oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan), Pusat Pengajian Seni, Profesor Madya Razif Mohd.
“Sephia baru dua minggu disahkan menghidap barah otak dan apabila dimasukkan ke HPP beberapa pembedahan telah dilakukan kepada beliau,” kata ibu kepada Nur Sephia Alisya yang berusia setahun enam bulan.
Menurut ketua projek yang juga Pegawai Sains di PPDU, Nur Sabrina Mohd Yusof, projek ini adalah kali kedua dijalankan oleh PPDU dan mendapat sokongan dan sumbangan daripada Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat dan juga orang persendirian di kalangan staf USM.
Kira-kira 200 sumbangan telah diedarkan kepada pesakit dan berharap ianya dapat membantu mengurangkan beban dan dapat menggembirakan pesakit terutamanya kanak-kanak. Teks: Cik Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1136