USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KONSERT TAHUNAN USM JAZZ BAND KALI KE-24 AMAT UNIK, BERTEMAKAN KONSEP MEDIA SOSIAL "HOME"

IMG 6516

USM PULAU PINANG, 3 Julai 2022 – Setelah dua tahun sunyi daripada membuat persembahan akibat COVID-19 yang telah melanda seluruh dunia, Jazz Band Universiti Sains Malaysia (USM) kembali mengisi kekosongan jiwa warga USM yang merindui kehadiran mereka dengan persembahan mantap yang amat unik pada 26 Jun 2022.

Tema "Home: A Social Media Concept" telah dipilih pada tahun ini, seiring dengan perubahan kepada penggunaan media sosial sepanjang berlakunya pandemik COVID-19.

IMG 6556

Menurut Pengarah Dewan Budaya USM, Ramnah Ramli, "Home" membawa maksud yang berbeza bagi setiap individu. Media sosial yang merupakan antara pilihan medium komunikasi utama, turut digambarkan sebagai salah satu idea "Home" yang telah membantu mengurangkan ketegangan dalam pelbagai situasi sepanjang pandemik dengan kewujudan video dan lagu yang menghiburkan.

“Konsert yang diadakan di Dewan Budaya USM ini bertujuan memperkasakan muzik Jazz dan Kontemporari Pop sebagai satu usaha untuk melestarikan seni muzik.

IMG 6513

“Ia juga memberi peluang kepada ahli USM Jazz Band untuk meningkatkan kemahiran dan keyakinan bermain alat muzik semasa membuat persembahan,” kata Ramnah.

Katanya lagi, usaha murni ini bertujuan untuk melahirkan pelajar yang berkualiti dan berkemahiran dalam seni muzik selain dapat memberikan pendedahan yang lebih mendalam kepada penonton mengenai muzik Jazz dan Kontemporari Pop.

IMG 6527

Tambah Ramnah, “repertoire lagu-lagu yang dimainkan dalam konsert tahun ini adalah lagu-lagu yang menjadi hits di sepanjang pandemik dan juga lagu yang didedikasi khas kepada semua yang terkesan akibat wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara dan dunia sejak Mac 2020.”

Konsert diserikan dengan alunan suara Pegawai Kebudayaan (Unit Persembahan, Promosi dan Pengantarabangsaan) Dewan Budaya, Andy Siti Nurhidayah Rahim yang merupakan bekas vokalis bagi kumpulan Jazz Band USM.

IMG 6605

Beliau menyampaikan lagu berjudul Lagenda, yang ditujukan khas buat Profesor Dr. Razif Mohd yang akan bersara pada November tahun ini. Razif merupakan pengasas kumpulan Jazz Band USM yang ditubuhkan pada tahun 1997.

Antara tetamu kenamaan yang hadir ke konsert ini ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Azlinda Azman bersama suami; Naib Presiden Kanan/Ketua Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan Ambank, Tuan Syed Anuar Syed Ali bersama rakan-rakan; Bendahari USM, Kamarul Ariffin Ngah; dan Pengarah Pembangunan Korporat Strategik USM, Tuan Haji Muhamad Sabri Said.

IMG 6561

Konsert ini turut mendapat penajaan daripada Kaxprints, Signature Cafe Bakti, Penang Youth Development Centre (PYDC) dan Gema Studio.

Teks: Nurhidayah Shahbuddin/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 526

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024