BANGUNKAN MODEL PEMBANGUNAN KENDIRI YANG LESTARI
Kubang Kerian, Kelantan, 17 April 2013 - Universiti berharap pusat-pusat tanggungjawab sentiasa berpegang kepada terasnya iaitu pengajaran dan penyelidikan serta pada masa yang sama, memberikan perkhidmatan dengan membangunkan model tersendiri yang lebih sesuai untuk menjana pendapatan kewangan daripada kekuatan kepakaran yang ada.
Naib Canselor, Profesor Dato' Omar Osman menyatakan hal ini ketika berucap merasmikan Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neutrosains di sini hari ini.
Tambahnya, ini dapat membantu USM agar mempunyai autonomi kewangannya sendiri dengan keupayaan memberikan dorongan dan motivasi kepada para pensyarah dan penyelidik yang ada.
"Ini juga tentunya akan membolehkan kita berada dalam ekosfera yang dapat membantu melestarikan usaha ini, pembangunan kendiri dan meningkatkan keupayaan pusat pengajian dan pusat tanggung jawab untuk membina kekuatan yang ada," kata Naib Canselor.
Tambahnya lagi, yang penting ialah bagaimana untuk pusat-pusat tanggungjawab terutamanya pusat pengajian dapat saling bekerjasama dan memanfaatkan secara optimum sumber-sumber yang ada bagi mencapai hasrat ini di samping memberikan sumbangan kepada pembangunan masyarakat, negara dan bangsa.
Naib Canselor mengucapkan tahniah kepada Profesor Jafri Malin Abdullah yang dilantik sebagai Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains, Universiti Sains Malaysia (P3 Neuro), yang merupakan juga satu penghormatan kepada Kampus Kesihatan USM .
"Minat dan passionate Profesor Jafri Malin Abdullah dan mereka yang lain terhafap ilmu sewajarnya dimanfaatkan dan dapat menggerakkan usaha USM apatah bidang Neurosurgeri dan Neurosains adalah salah satu bidang nic Kementerian Pengajian Tinggi yang berpotensi dibangunkan sebagai Pusat Kecemerlangan dalam sektor perkhidmatan dan penyelidikan," kata Omar.
Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains terdiri daripada pasukan transdisiplinari yang berasaskan klinikal gunaan yang menggabungkan tenaga kerja enam kluster penyelidikan yang terdiri daripada Neurosains Klinikal, Neurosains Asas, Neurosains Kognitif, Pengimejan Neuro, Neuro Informatik, Komputasi Neurosains, Neurosains Gunaan & Kejuruteraan Bioperubatan Neuro serta Pendidikan Neuro, Neurosains Sosial, Neurosains Sosial, Neuro-Estetika, Muzik, Media, Reka Cipta Neuro & Literatur.
Hadir sama majlis ini ialah Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato' Mafauzy Mohamed, Dekan-dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan dan Pusat Pe gajian Sains Pergigian serta pelajar dan guru-guru dari beberapa buah sekolah sekitar Negeri Kelantan. Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1355