USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TIDAK MAHU DITELAN ZAMAN, ALUMNI USM JULUNG KALINYA CIPTA WAYANG KULIT ANIMATRONIK

USM PULAU PINANG, 14 Julai 2022 – Wayang kulit merupakan satu kaedah pementasan teater yang menggunakan patung-patung yang diukir daripada belulang untuk persembahannya, iaitu dengan teknik bayang melalui pantulan cahaya ke atas kalir menerusi watak-watak yang digambarkan pada patung atau boneka belulang tersebut.

BBE363B4 A893 4786 B3FE B89F528944FC

Pun begitu, persembahan seni tinggalan warisan yang terkenal di nusantara itu bukanlah satu persembahan yang mudah untuk disaksikan pada hari ini.

Apatah lagi, karya kebudayaan yang tinggi nilainya itu memerlukan sekumpulan orang yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran bagi menjamin kualiti persembahan dapat memberikan hiburan dan dalam masa yang sama turut diisi dengan teladan.

Atas kurangnya persembahan-persembahan wayang kulit dan kekhuatiran seni itu makin hilang ditelan zaman, alumni dari Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM), Ahnaf Hakimi Ahmad, 33, tampil dengan idea dan inovasi yang mengujakan.

F417B844 BCC5 426A A5BC C16E70A2F257

Beliau mengetuai sekumpulan individu membangunkan Wayang Kulit Animatronik (WKA): satu projek khusus persembahan wayang kulit dengan gabungan teknologi robotik bersama-sama seni persembahan wayang kulit, pertama kali dihasilkan di negara ini.

Menurutnya, cara WKA dipersembahkan adalah sama seperti wayang kulit tradisional namun yang membezakannya, WKA sepenuhnya dikendalikan secara robotik tanpa perlu melibatkan kehadiran fizikal para pemain wayang kulit termasuk Tok Dalang, pemuzik, krew dan sebagainya.

Ahnaf Hakimi yang juga graduan ijazah Sarjana Muda Seni Halus, 2015 dan Sarjana Instruksi Multimedia (2018) ketika ditemu bual berkata, idea untuk menghasilkan WKA mula tercetus apabila terdapat kurangnya persembahan wayang kulit pada masa kini.

Tambahan pula katanya, dalam menjayakan satu-satu persembahan wayang kulit, modal kewangan diperlukan untuk kos-kos yang terlibat termasuk bayaran upah kepada Tok Dalang, pemuzik, krew dan individu lain yang terlibat.

“Justeru, saya rasakan selain berinovasi, WKA juga dapat menjadi satu medium ke arah mengurangkan kos persembahan, yang mana ia adalah salah satu faktor kurangnya persembahan wayang kulit tradisional dipersembahkan pada hari ini.

“Jika kos dapat dikurangkan, persembahan wayang kulit dapat dilakukan secara lebih kerap,” ujar beliau yang mempunyai kemahiran dalam bidang multimedia dan robotik.

Mengulas lanjut mengenai WKA, beliau mengakui projek berkenaan bermula dari cetusan ideanya dan dijayakan sepenuhnya olehnya.

“Bermula dari rekaan mekanikal, sistem komputer dan pengaturcaraan, saya lakukan sendiri dengan berbekalkan pengalaman yang ada."

Manakala dari segi reka bentuk watak wayang kulit, ia dihasilkan oleh yaya-okita (artis komik) dan juga audio menggunakan khidmat Wak Long Music & Art Center bersama Dalang iaitu Mursyid Md Hussein, yang juga alumni USM,” katanya.

3CE86486 18E4 44C7 B676 BECF6B959986

Beliau juga menjelaskan, penghasilan WKA dibuat dengan penuh teliti kerana ia memerlukan penyelidikan, pemerhatian, pembangunan reka bentuk dan juga kerja-kerja pertukangan.

“Kesemua ini memerlukan dedikasi yang tinggi kerana proses ini memerlukan ketahanan dan keboleh-ulangan yang tinggi bagi menjamin kualiti persembahan wayang kulit ketika dimainkan."

Ahnaf Hakimi juga menegaskan, beliau yakin inisiatifnya itu dapat memberikan impak yang meluas, khususnya dalam menarik minat generasi masa kini untuk mengetahui dan menghayati seni wayang kulit.

“Dengan adanya WKA, pengunjung dapat melihat, mengenali, merasai dan mempelajari pergerakan robotik dan sistem kawalan automatik yang dibangunkan dalam WKA. Ia sedikit sebanyak dapat memberikan pendedahan terhadap kepentingan revolusi dalam memastikan kelangsungan seni budaya warisan berzaman dapat diwariskan dari generasi ke generasi.

“Saya turut berharap agar generasi muda masa kini dapat memeliharakan warisan seni yang tidak ternilai harganya ini. Selain itu, rekaan WKA ini dapat menarik minat mereka dalam menceburi teknologi robotik yang boleh diaplikasikan dalam pelbagai perkara pada zaman ini,” ujar beliau lagi.

17F44996 C166 4DFB 9B1C 7935195A5214

Wayang Kulit Animatronik pertama kali dipamerkan di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah, USM dan ia terbuka untuk semua pengunjung sehingga hujung Julai depan.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 669

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024