USM TEROKAI PENGAJIAN KE PERINGKAT GLOBAL
USM PULAU PINANG, 19 Julai 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) mengorak langkah menawarkan program pengajian di peringkat global melalui penawaran program pengajian secara pesisir.
Menurut Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah Samat, yang terkini ialah melalui kolaborasi dengan European Global School – University (EGS-U) yang telah menandatangani persetujuan kerjasama akademik sejak Januari 2022 untuk menawarkan program akademik di peringkat pasca siswazah dan pra-siswazah.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan pegawai-pegawai tinggi Kementerian hadir melawat pusat kampus pesisir USM di Besiktas, Istanbul pada 13 Jun 2022 lalu.
Melalui kerjasama dengan EGS-U Turkiye, terdapat 18 program Doktor Falsafah, 15 Program Sarjana dan 1 Program Pra-siswazah telah diluluskan pada peringkat Jabatan Pengajian Tinggi.
Pihak USM telah mengeluarkan 53 tawaran melalui kerjasama ini dan sedang menilai 19 permohonan lagi yang mensasarkan sekurang-kurangnya 80 orang pelajar mendaftar bagi tahun 2022.
Bercakap dalam program Selamat Pagi Malaysia (SPM) TV1 pada pagi ini, Narimah menjelaskan, trend penawaran program akademik di luar negara dimulakan oleh USM sejak tahun 2009 melalui usahasama USM dengan Karnataka Lingayat Society, Belgaum India bagi menawarkan program Doktor Perubatan dan kohort pertama pelajar diterima pada tahun 2011.
Sehingga kini, program ini telah menghasilkan 668 orang doktor yang berkhidmat di pelbagai hospital di tanah air.
Terdapat lebih kurang 300 pelajar sedang mengikuti pengajian masing-masing di Belgaum ketika ini.
"Model penawaran program akademik di luar negara atau “Pendidikan Merentas Negara atau TransNational Education (TNE)” ini amat popular iaitu penawaran program dibuat di negara berbeza daripada lokasi negara asal program," kata Narimah.
"USM melalui agenda pengantarabangsaannya, menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan pendidikan yang inklusif dan terjangkau oleh pelajar di negara Malaysia dan seluruh dunia.
"Selain itu, sebagai sebuah universiti yang menerajui kelestarian, penawaran program di peringkat antarabangsa adalah selaras dengan hasrat dan hala tuju ini," kata Narimah.
USM telah dinobatkan di tempat ke- 4 terbaik di dunia melalui sistem penarafan Times Higher Education melalui Impak Kelestarian. Hal ini adalah antara agenda kelestarian APEX USM yang menekankan aspek akses dan pendidikan sepanjang hayat selaras dengan Agenda ke-4 dalam Agenda Pembangunan Kelestarian (SDG).
"Selain itu, pihak USM juga menyahut seruan Kementerian Pengajian Tinggi yang mensasar 250,000 pelajar antarabangsa di Malaysia.
"Pihak USM peka dengan hasrat ini dan akan berusaha menggalakkan kemasukan pelajar antarabangsa ke USM demi kelangsungan pendidikan di peringkat global," tegas Narimah.
USM mempunyai hampir 5,287 pelajar antarabangsa dari 80 buah negara. Manakala komuniti antarabangsa USM adalah hampir 10,000 orang termasuk keluarga pelajar dan staf ekspatriat. Ini mencerminkan ekosistem yang sihat terdapat di USM untuk membawa dunia ke ruang kampus dan USM ke persada dunia.
Peningkatan agak drastik berlaku sejak tahun lepas iaitu dengan peratus peningkatan mencecah 70%.
"USM meneruskan agenda pengantarabangsaan untuk mengeratkan lagi perhubungan diplomatik dan kerjasama di peringkat antarabangsa dalam pendidikan di peringkat pengajian tinggi dengan menawarkan lebih banyak program-program mobiliti seperti rancangan pertukaran pelajar, kursus jangka pendek, program pesisir, dual degree dan sebagainya.
"USM juga amat aktif meningkatkan kerjasama melalui penyelidikan dan mobiliti staf dan pelajar dalam bidang utama sains, kejuruteraan dan teknologi dengan beberapa universiti di Jepun," jelas Narimah lagi.
Antaranya ialah hasil kerjasama penyelidikan dengan Osaka University, Jepun, pihak USM telah menawarkan program dual ijazah di peringkat Kedoktoran.
Terbaru pihak Osaka University telah memilih USM sebagai pusat penawaran program akademik di Malaysia melalui Osaka Asean Campus.
Selain itu, kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan dan mobiliti meletakkan USM di persada antarabangsa.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 698