FFAM 2022: PROGRAM SULUNG DEWAN BUDAYA KETENGAHKAN BAKAT SENI ANAK MUDA
FFAM 2022: Memberi peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi meningkatkan daya kreativiti dalam bidang seni pembikinan filem, lakonan dan pengarahan, di samping menghargai bidang kesenian tersebut.
USM PULAU PINANG, 1 Julai 2022 – Sekretariat Protégé Universiti Sains Malaysia (USM) atau Protégé USM telah menganjurkan Festival Filem Anak Muda 2022 (FFAM), iaitu Pertandingan Filem Pendek antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Malaysia peringkat kebangsaan yang telah diadakan pada julung kalinya, di sini.
Bersesuaian dengan matlamat utamanya, iaitu membangunkan bakat mahasiswa USM melalui penganjuran dan sokongan terhadap aktiviti-aktiviti berkaitan seni dan kebudayaan, FFAM 2022 dianjurkan dengan kerjasama Dewan Budaya USM, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) USM, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Canon Malaysia sebagai Rakan Pengimejan Rasmi program.
Bertemakan konsep ‘Inspirasiku’, program ini bertujuan untuk mengasah serta memberikan ruang kepada anak-anak muda dalam mengetengahkan bakat mereka dalam bidang perfileman, selain meningkatkan daya kemahiran menilai, memilih, membentuk dan menjana idea, konsep dan pemahaman yang konkrit berdasarkan tema yang diberikan untuk digarap dalam filem yang akan dibikin.
Program ini disertai oleh para mahasiswa dan mahasiswi daripada 9 buah IPT di Malaysia, di antaranya adalah Multimedia Malaysia University (MMU), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UNiMAP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan juga wakil daripada tuan rumah sendiri iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), dengan jumlah sebanyak 18 penyertaan yang bertanding bagi merebut kejuaraan yang sulung itu.
Pengarah Dewan Budaya USM, Ramnah Ramli dalam ucapan perasmiannya berkata, beliau berharap melalui program ini, kreativiti industri perfileman, khususnya perjuangan anak muda untuk berkarya, dapat terus dipergiatkan yang mana beliau percaya bahawa program ini dapat mengasah dan mengangkat bakat-bakat anak muda ke peringkat yang lebih tinggi.
“Saya turut cakna akan cabaran yang dihadapi generasi muda hari ini dan oleh itu, demi mengiktiraf pencapaian dan usaha kalian, saya yakin FFAM 2022 mampu menjadi batu loncatan yang terbaik untuk mengetengahkan bakat dan karya-karya anak muda tempatan,” kata Ramnah.
Sementara itu, Penasihat Sekretariat Protégé USM, Andy Siti Nurhidayah Rahim dalam ucapan aluannya berkata, beliau menyedari akan pentingnya menghargai hasil karya perfileman negara dan menggalakkan penglibatan anak muda, dan beliau yakin FFAM 2022 mampu menjadi platform kepada para pelajar khususnya dalam mencungkil dan menggilap setiap kelebihan dan juga kreativiti yang merangkumi aspek pembikinan filem dan sebagainya.
“Keberjayaan program ini akan dapat dilihat melalui penglibatan hampir kesemua pelajar keseluruhannya dalam mengkoordinasikan perjalanan program dan juga dalam mengambil peranan untuk mempertandingkan hasil karya masing-masing,” tambah Andy.
Turut hadir ke program ini adalah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi; Dekan Pusat Pengajian Komunikasi, Profesor Madya Dr. Bahiyah Omar; Ketua Juri FFAM 2022, Dato’ Jurey Latiff Mohd Rosli; Juri FFAM 2022, Indra Che Muda; Pengarah Pembangunan HEBAT USM, Hazlan Abdul Hamid; Pengarah Jabatan Perniagaan Komunikasi Pengimejan (ICB) Canon Marketing Malaysia; Pengarah FFAM 2022, Abdullah Nudin serta pegawai-pegawai universiti.
Hidup ini bagaikan wayang yang berputar. Setiap hari kita dikelilingi dan diilhamkan dengan pelbagai perihal hebat mungkin dari segi pengalaman atau insan yang memberikan inspirasi kepada kita.
Oleh hal yang demikian, diharapkan dengan adanya FFAM 2022 ini, para penggarap filem golongan muda dapat mengetengahkan kisah yang dapat menyentuh perasaan dan memberikan inspirasi kepada mereka yang menonton.
Text: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 598