INSAN GELANDANGAN DAPAT PERHATIAN WARGA USM
PULAU PINANG, 1 Ogos 2013 - Seramai 100 sukarelawan staf dan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengorbankan waktu tidur mereka untuk turun padang mengagihkan makanan dan minuman kepada gelandangan yang tiada berumah dan mereka yang terpaksa bekerja sehingga awal pagi di sekitar bandaraya Georgetown.
Program menghulur juadah sahur ini dinamakan Program Pautan Kasih Ramadhan: Santai Sahur Bersama Masyarakat telah dianjurkan bersama oleh pasukan USM Respond Team (USMaRT), Pusat Islam USM, Sekretariat Sukarelawan Pelajar USM, dan Sekretariat Ekspo Konvokesyen (ConvEX).
Seawal jam 10.00 malam lagi, para sukarelawan telah berkumpul di dapur Pusat Islam USM untuk membantu kerja memasak dan membungkus makanan, dan menjelang jam 11.30 malam sebanyak 500 paket makanan telah siap dibungkus. Bendahari USM, Pn. Salmiah Che Puteh turut melapangkan masa untuk bersama-sama membantu dalam proses pembungkusan makanan.
Aktiviti dimulakan dengan sesi taklimat oleh Penyelaras Program, Khairul Eruwan Abdul Halim diikuti dengan ucapan ringkas oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman kepada peserta program di hadapan Pusat Islam.
Naib Canselor berharap program ini berupaya mendidik jiwa kita untuk memahami dan merasai penderitaan dan kesusahan orang lain serta menanam sikap prihatin kita terhadap golongan gelandangan dan insan lain yang memerlukan pertolongan kita.
“Kita patut bersyukur dengan apa yang kita miliki hari ini, dan patut menghulurkan bantuan secara ikhlas dengan lebih melibatkan diri dalam program seumpama ini bukan sahaja pada bulan Ramadhan ini tetapi juga pada masa-masa yang akan datang,” ujar Naib Canselor.
Sebelum itu, Khairul Eruwan turut menyatakan rasa gembiranya melihat begitu ramai sukarelawan yang hadir menyertai program tersebut dan mengharapkan lebih ramai lagi yang akan tampil menghulurkan bantuan dan secara tidak langsung membentuk warga kampus yang penyayang dan prihatin.
Bagi memudahkan kerja pengagihan, peserta dibahagikan kepada dua kumpulan yang bergerak di sekitar kawasan Weld Quay, Padang Kota Lama, Upper Penang Road, kawasan Masjid Jamek Lebuh Aceh, Komtar dan Hospital Pulau Pinang.
Selain kumpulan gelandangan yang menjadikan ruang kaki lima sebagai tempat tidur mereka, kumpulan sasaran lain yang turut diberi makanan ialah pengayuh beca, pemandu teksi, pengawal keselamatan, kakitangan hospital yang bekerja syif malam dan juga keluarga pesakit yang bermalam di hospital.
Naib Canselor turut mengambil bahagian dalam pengagihan makanan juga.
Program berakhir pada jam 3.30 pagi selepas 500 paket makanan dan minuman habis diagihkan. Secara keseluruhannya peserta merasa gembira apabila melihat wajah golongan gelandangan dan kumpulan sasaran menikmati makanan yang diberikan dengan penuh rasa kesyukuran. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Yong Check Yoon & Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1810