USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ACARA KEMUNCAK FMQ PERINGKAT DESASISWA 2022 KEMBALI DIANJUR SECARA BERSEMUKA DALAM FASA ENDEMIK COVID-19

288577082 3203242056624192 5509717227585699596 n

USM PULAU PINANG, 12 Jun 2022 – Festival Musabaqah Al-Quran (FMQ) peringkat desasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) bagi tahun 2022 berakhir tengah hari ini dengan berlangsungnya majlis penutup serta pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah di Balai Paseban, Pusat Pengajian Seni, di sini.

Majlis penutup FMQ telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman.

Azlinda dalam ucapannya bersyukur dan gembira kerana FMQ kembali dianjurkan secara normal iaitu bersemuka pada tahun ini setelah hampir dua tahun dianjurkan secara maya akibat penularan COVID-19.

Menurut beliau, musabaqah Al-Quran bermatlamat bukan hanya untuk memperdengarkan kemerduan dan kelunakan bacaan oleh qari dan qariah semata-mata, tetapi untuk memastikan pengertian, mesej dan maksud kalam Allah difahami dan dihayati oleh pendengarnya.

6F62A0C1 47D9 43DA B647 F1C1A7A4507C

“Penghayatan inilah yang diharap mampu memberi panduan dan pedoman kepada kita untuk mendekatkan diri kepada Allah serta menjadi insan yang bertaqwa,” kata Azlinda.

“FMQ kali ini, yang bertemakan ‘Al-Quran Pemangkin Generasi Versatil’, juga bertujuan melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang bersifat holistik yang mampu menyeimbangkan sisi dunia dan akhirat serta turut melatih pemikiran secara kritis semasa bertanding – selaras dan menepati elemen dan agenda H.E.B.A.T.,” tambah beliau.  

Di samping itu, mengikut Azlinda lagi, program ini juga dapat mencungkil minat dan bakat terpendam pelajar dalam tilawah, hafazan, syarahan dan juga seni khat kaligrafi yang menjadi salah satu seni warisan Islam yang amat disanjungi.

Pada tahun ini, Desasiswa Aman Damai melalui Majlis Penghuni Desasiswa Aman Damai (MPDAD) menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah Festival Musabaqah Al-Quran 2022, dengan kerjasama Majlis Penggawa Desasiswa dan Pusat Pembangunan Hebat (HDC) USM.

Sebagai program sepunya, FMQ turut melibatkan semua desasiswa termasuk dari Kampus Kesihatan, Kelantan dan Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal.

Festival Musabaqah Al-Quran 2022 merupakan pembaharuan kepada program Majlis Tilawah Al-Quran yang dianjurkan oleh Majlis Penggawa sebelum ini.

Pembaharuan yang dibawakan oleh FMQ pada kali ini ialah terdapat empat kategori dipertandingkan iaitu tilawah, hafazan, syarahan dan juga khat.

Program yang bermula mulai 16 April 2022 mengetengahkan pertandingan pada peringkat awal secara dalam talian, yang mana kemuncaknya pada 11 dan 12 Jun, para finalis setiap kategori bertanding bagi menentukan johan, naib johan dan tempat ketiga secara bersemuka.

288519766 3203242059957525 429355350069244322 n

 

FMQ pada kali ini juga turut membuka peluang penyertaan kepada pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta termasuk kolej vokasional dan politeknik.

Antara institusi pendidikan yang turut menyertai FMQ 2022 ialah Institut Pendidikan Guru Pulau Pinang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kuala Pilah dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Syabas dan tahniah kepada kesemua pemenang bagi keempat-empat kategori seperti berikut:

Tilawah Al-Quran kategori Qari

  • Johan - Mohamad Azizi Che Azid (Desasiswa Murni Nurani)
  • Naib Johan - Muhammad Nassmym Redzuan (Desasiswa Restu)
  • Tempat ketiga - Muhammad Hafizhullah Anuar (Universiti Teknologi Mara, Kuala Pilah).

Tilawah Al-Quran kategori Qariah

  • Johan - Fatiha Aina Umaira Sulaiman (Desasiswa Murni Nurani)
  • Naib Johan - Nurul Raznisah Rajehinda (Desasiswa Tekun)
  • Tempat ketiga - Nur Atira Mohd. Khairudin.

Hafazan kategori lelaki

  • Johan - Iffat Syahmi Mohd Isyraf (Desasiswa Aman Damai)
  • Naib Johan - Muhammad Qurrathul Hussaini Muhammad Razak (Desasiswa Jaya Lembaran Utama)
  • Tempat ketiga - Mohd. Hidayat Ahmad Zohri (Desasiswa Restu).

Hafazan kategori perempuan

  • Johan - Ainuzzahirah Zukarnain (Desasiswa Murni Nurani)
  • Naib Johan - Nurul Izzah Mohamad Razaib
  • Tempat ketiga - tiada pemenang.

Syarahan kategori lelaki

  • Johan - Wan Muhamad Fahmi Wan Nazri (Desasiswa Murni Nurani)
  • Naib Johan - Muhd Faris Aizat Arffin (Desasiswa Cahaya Gemilang Harapan)
  • Tempat ketiga - Mohd. Amirul Fahmi Abu Seman (Desasiswa Saujana).

Syarahan kategori perempuan

  • Johan - Nur Izzah Khairiyah Jasni (Universiti Kebangsaan Malaysia)
  • Naib Johan - Norfaezah Dahlan (Desasiswa Jaya Lembaran Utama)
  • Tempat ketiga - Nur Atikah Mohd Razy (Desasiswa Murni Nurani).

Kategori Khat terbuka

  • Johan - Muhammad Azinuddin Annuar (Universiti Kebangsaan Malaysia)
  • Naib Johan - Nur Athirah Amran (Desasiswa Cahaya Gemilang Harapan)
  • Tempat ketiga - Nurul Huda Jaafar (Desasiswa Murni Nurani).

F0DE951A 3F79 4340 9624 5A99A126B7FB

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Majlis Penggawa, Dr. Ts. Shahrizal Nazri; Penggawa Desasiswa Aman Damai merangkap Penasihat Utama Festival Musabaqah Al-Quran 2022, Khairul Aswad Abd Aziz; Penggawa Desasiswa Indah Kembara, Siti Hawa Mat Junoh; Penolong-penolong Penggawa, penasihat Festival Musabaqah Al-Quran 2022, Yang Dipertua Desasiswa, Majlis Tertinggi Desasiswa dan ahli jawatankuasa serta penyokong-penyokong dari semua desasiswa yang bertanding.

Teks: Zamzami Rasidi/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 443

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024