USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MANFAATKAN TEKNOLOGI, KATA NC

 

usmpembangunan

PULAU PINANG, 1 Ogos 2013 - "Jangan risau tentang transformasi dan penstrukturan yang dibuat. Yang kita usahakan ialah untuk lebih berfokus dan kejat," kata Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Omar Osman dalam perjumpaan dengan staf teknikal Jabatan Pembangunan USM. 

Tambahnya lagi, kita ingin pastikan agar kita dapat lebih cekap dan berkesan dalam mencapai hasrat USM terutamanya dengan memanfaatkan teknologi yang ada dan sistem yang digunakan serta lebih memahaminya. 

"Saya berada di sini kerana sistem berjalan baik. Oleh itu kita perlu sentiasa pastikan sesuatu sistem berjalan dengan sempurna," kata Naib Canselor.

Beliau menyeru agar warga USM menukar cara kerja kepada "functional based" dan bergantung kepada kepakaran yang ada apabila sesuatu sistem telah berjalan dengan baik malah pada masa yang sama melihat semula cara kita berkomunikasi dan lebih kreatif dalam menyelesaikan masalah.

"Saya menjangkakan dalam masa setahun dua lagi, emel juga akan menjadi kurang relevan apabila aplikasi baru seperti whatsapp, viber, wechat dan sebagainya menjadi kaedah komunikasi berkumpulan lebih berkesan dalam kumpulan-kumpulan kecil," kata Omar.

Naib Canselor memberi jaminan yang semua aspek yang berkaitan dengan pembangunan sumber manusia dan program latihan yang bersesuaian untuk dibuat secara holistik. Namun pada masa yang sama staf juga perlu membuat saranan yang sewajarnya dalam memastikan universiti mengiktiraf kemahiran seseorang staf dengan kaedah tertentu dalam mentransformasikan bakat yang ada, fungsi dan kemungkinan struktur di mana yang perlu.

"Malah kemungkinannya, kita tidak perlu melakukan perubahan dari segi struktur tetapi lebih berfokus kepada fungsi supaya sesetengahnya boleh dikembalikan kepada pihak yang sewajarnya termasuk kemungkinan melihat kepada operasional dengan lebih teliti," kata Omar.

Kira-kira 50 orang staf teknikal Jabatan Pembangunan hadir perjumpaan selama 2 jam tersebut. - Teks & Foto: Mohamad Abdullah

 

 

  • Created on .
  • Hits: 953

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024